Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengedar penerbitan bercanggah dengan Islam.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Aman Mat Zain di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mohd Aman berkata keputusan itu mengambil kira faktor kebajikan Nik Raina dan status rayuan pendakwa syariah kepada Mahkamah Rayuan yang hanya berada pada peringkat memohon kebenaran merayu.

"Dalam keadaan ini, mahkamah perlu mengambil kira kemaslahatan tertuduh.

"Mahkamah juga perlu mengambil keputusan yang dilihat tidak bercanggah dengan sistem dualisme perundangan.

"Oleh itu mahkamah berpuas hati dan memerintahkan Nik Raina dilepaskan tanpa dibebaskan," kata Hakim Mohd Aman.

Mahkamah hari ini diberitahu bahawa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 28 Januari lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati serbuan JAWI ke atas Borders pada 2012 tidak mengikut undang-undang.

Rayuan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati serbuan JAWI tidak mengikut undang-undang kerana dibuat sebelum pengharaman buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' karangan penulis Irshad Manji.

Nik Raina yang berada di kandang tertuduh sebak dan menitiskan air mata apabila keputusan itu dibacakan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Hakim Mohd Aman dan kemudian memeluk Ketua Pegawai Operasi Berjaya Books, Yau Su Peng yang berada di galeri awam.

Ditemui wartawan di luar mahkamah, Nik Raina gembira dengan keputusan mahkamah.

Menurutnya, keputusan sebaliknya pasti akan menjejaskan moral sebilangan besar pengurus rangkaian Borders yang lebih 90 peratus daripada mereka adalah Melayu Muslim.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan dan anaknya Datuk Robin Tan yang kini menguruskan konglomerat itu dan tidak lekang memberikan sokongan moral kepada beliau.

"Mereka banyak kali beritahu saya yang saya tidak bersalah, jangan takut dan semuanya akan baik-baik sahaja," katanya.

Nik Raina sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 berkaitan penerbitan agama yang bertentangan hukum syarak.

Beliau sebelum ini berhadapan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika dabit kesalahan.

Nik Raina diwakili peguam Rosli Dahlan sementara pendakwaan dilakukan oleh pendakwa syariah Zainor Rashid Hasin.

Lihat Komen
ADS