Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gerakan cabar PKR mansuhkan kesalahan liwat
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 12:52 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Pemuda Gerakan hari ini mencabar PKR membentangkan usul memansuhkan undang-undang bagi kesalahan liwat jika tidak berpuas hati dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata PKR tidak wajar memohon pengampunan diraja bagi Anwar kerana beliau tidak boleh dikecualikan daripada hukuman tersebut.

"Jika benar PKR tidak bersetuju dengan jenayah liwat, ahli-ahli parlimen PKR sepatutnya membentangkan usul dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan untuk membatalkan undang-undang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

"Tiada asas kukuh untuk pengampunan dan pengecualian hukuman tersebut kecualilah liwat dimansuhkan oleh Parlimen."

Tan mengulas usaha keluarga Anwar memohon pengampunan diraja terhadap kesalahan itu dan hukuman lima tahun penjara.

Selain menuduh kes itu satu konspirasi politik oleh pemimpin Umno, PKR sering mendakwa Anwar tidak mendapat keadilan. Umno bagaimanapun menafikannya.

Tan juga mendesak PKR menjelaskan sebab-sebab parti itu mahu Anwar dikecualikan daripada hukuman tersebut jika ketua pembangkang itu mendakwa beliau tidak bersalah.

"Sebagai parti yang bertanggungjawab, PKR seharusnya tidak meletakkan pemimpin di atas proses undang-undang," tambahnya.

"Tindakan ini (mohon pengampunan) menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan orang ramai. Kenapa seseorang perlu memohon diampunkan jika dia tidak melakukan kesalahan itu?"

Lihat Komen
ADS