Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kelonggaran imigresen di Wang Kelian perlu dibatal'
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 4:43 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Kelonggaran diberikan kepada warga Thailand memasuki negara ini menerusi pintu masuk di Wang Kelian tanpa mengemukakan sebarang dokumen sah pada Sabtu dan Ahad, perlu dibatalkan dengan segera atas sebab-sebab keselamatan.

         

Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) Datuk Mohd Johari Baharum berkata, keistimewaan Imigresen di Wang Kelian itumenyumbang kepada kelonggaran kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara.

         

"Saya tengok penempatan-penempatan kita di kawasan sempadan sangat longgar dari segi keselamatannya. Sebab itu saya tengok (berlaku) penyeludupan barangan subsidi kita ke Thailand, selain penyeludupan senjata api dan mercun (dari negara jiran ke Malaysia.)

         

"Kita mahukan mereka yang keluar masuk sempadan mesti mempunyai dokumen yang sah di sisi undang-undang. Sekarang ini tidak ada, di Wang Kelian hanya angkat tangan sahaja, memudahkan penjenayah keluar masuk Malaysia," katanya kepada Bernama.

         

Rakyat Thailand yang menggunakan pintu masuk Wang Kelian pada Sabtu dan Ahad dibenarkan memasuki negara ini sehingga sejauh 3km tanpa menggunakan sebarang dokumen Imigresen yang sah.

         

Warga Malaysia turut menikmati keistimewaan yang sama dan dibenarkan memasuki Thailand sehingga 3km jauh pada hari-hari terbabit.

Menurut Johari, cadangan supaya kelonggaran Imigresen di pintu masuk Wang Kelian itu ditarik balik telah pun dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan dan mahukan tindakan sewajarnya dilakukan.

         

Beliau juga akan menyuarakan isu tentang Wang Kelian itu pada siding Parlimen tidak lama lagi.

         

Anggota Parlimen Kubang Pasu itu berkata, setiap hari Sabtu dan Ahad wujud keadaan "free for all" di Wang Kelian dengan warga asing bebas memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah dan pasport antarabangsa.

         

"Bilangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan buruh tanpa permit di Malaysia telah mencecah sehingga 8 juta. Saya cadangkan supaya (keistimewaan Imigresen) di Wang Kelian itu ditarik balik," katanya.

 

Beliau difahamkan, walaupun warga Thailand hanya dibenarkan memasuki Malaysia sejauh 3km daripada pintu masuk Wang Kelian pada hari terbabit, tetapi ada yang tidak mengendahkan peraturan itu dan pergi jauh daripada jarak itu.

 

"Dia kata 3km, tetapi adakah kita pasti (mereka) pergi setakat itu sahaja. Yang saya tahu memang lepas la (melebihi daripada jarak 3km)," katanya dan menambah, kelonggaran Imigresen di Wang Kelian itu boleh memudaratkankeselamatan negara.

         

Menurutnya, terdapat kemungkinan kelonggaran pemeriksaan Imigresen di pintu masuk Wang Kelian pada Sabtu dan Ahad itu bukan sahaja digunakan oleh warga Thailand, tetapi juga warga asing daripada negara-negara lain.

         

Katanya, kerajaan perlu mengekalkan kedaulatan wilayah dengan memastikan setiap warga asing yang berhasrat memasuki negara ini mengemukakan pasport atau pas sempadan bagi penduduk yang tinggal di kawasan sempadan.

         

"Kerajaan mesti ambil tindakan," kata beliau dan menambah, kebebasan rakyat asing untuk keluar masuk Malaysia menerusi Wang Kelian tanpa dokumen pada Sabtu dan Ahad perlu dihentikan.

Kerajaan negeri Perlis dan pentadbiran wilayah Satun (Thailand) bersetuju supaya kemudahan pergerakan bebas itu dilaksanakan semula pada 5 Disember 2008.

         

Dengan kemudahan itu, rakyat Malaysia tidak perlu mengemukakan pasport atau pas sempadan untuk ke Wang Kelian atau Wang Prachan di sebelah Thailand danbegitu juga rakyat negara jiran itu tidak perlu mengemukakan dokumen perjalanan untuk berbelanja di sini.

         

Kemudahan itu pernah diperkenalkan pada 1998 namun ditarik balik pada Februari 2008.

- Bernama

Lihat Komen
ADS