Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zunar lancar semula buku kartun isu Rosmah
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 5:11 PM
Dikemaskini: 11:37 AM

Kartunis politik Zunar akan melancar semula buku kartunnya yang terbaru tentang isteri perdana menteri Rosmah Mansor selepas polis merampas sebahagiannya pertengahan bulan ini.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaq, berkata 'ROS in Kangkong Land' (RIKL) itu akan dilancar semula jam 10 pagi Sabtu ini, di Brickfields.

Maklumat lanjut berhubung majlis itu boleh didapati di laman web beliau.

Dalam kenyataannya hari ini, Zunar berkata koleksi karyanya memfokus watak utama, 'Ros' sebagai seorang isteri yang didakwanya "lebih dominan dan berkuasa".

"Secara kartun, saya sangat kagum dengan dia. Dia menyediakan ilham-ilham kepada saya dan dia mudah dikartunkan. Sehinggakan buku ini didedikasikan kepada dia," katanya.

"Saya akan memberi hadiah sebuah buku ini dengan autograf kepada dia sebagai tanda penghargaan."

Tambahnya, buku itu turut menampilkan isu semasa termasuk penggunaan Akta Hasutan, dakwaan konspirasi terhadap pemimpin PKR Anwar Ibrahim, dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu harga petrol.

Pada 14 Februari lalu, polis telah menahan van dan merampas lebih seratus naskhah buku 'Ros in Kangkung Land' yang mengandungi karikatur Rosmah.

 

Buku tersebut sepatutnya dihantar ke Taman Tasik Jaya, Petaling Jaya tempat Zunar merancang melancarkannya pada petang hari tersebut.

Beliau ditahan reman tiga hari sebelum majlis pelancaran tersebut untuk siasatan berhubung kes Anwar.

Lihat Komen
ADS