Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penyelarasan baru yang dijalankan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertujuan untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerjanya stesen itu.

Katanya, langkah itu bukan satu langkah penjimatan semata-mata tetapi untuk meningkatkan produktiviti.

"Bukan soal nak jimatkan. Tetapi RTM mesti menuju suatu era produktif dan efisien dari segi penggunaan tenaga kerja dan mengikut amalan baik stesen televisyen lain.

"Tidak semestinya ramai kakitangan menghasilkan sesuatu produk yang baik.

"Jadi kita minta supaya pihak RTM melihat sesuatu itu dilaksanakan dengan efisien kerana ada perkara yang boleh dibuat oleh seorang (pekerja)," katanya.

Penyelarasan semula yang banyak melibatkan pekerja sambilan itu antara lainnya melibatkan penstrukturan semula jabatan beritanya dengan membubarkan meja jenayah dan hiburan.

Menurut sumber, RTM turut menamatkan program bual bicara 'Hello On Two' dan mengurangkan jumlah tugasan untuk jurukamera sambilannya.

Langkah itu menjejaskan lebih 100 orang kakitangan sambilan terbabit, yang sebelum ini terpaksa menunggu sehingga lebih sebulan setengah untuk menerima bayaran.

Malah, ada di antara mereka terpaksa menjual kelapa dan bekerja di restoran makanan segera untuk menampung kos sara hidup.

Shabery turut mengulas mengenai rundingan untuk mendapatkan dana bagi membolehkan Bernama TV (BTV) dapat meneruskan operasi.

Katanya, rundingan itu masih berjalan untuk menguruskan isu pemilikan ke atas stesen berkenaan.

Shabery turut menegaskan bahawa BTV bukan milik kerajaan dan ia milik syarikat swasta.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sidang media Orkestra RTM@Java Jazz di Angkasapuri, hari ini.

Lihat Komen
ADS