Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Audit segera dana 1MDB, gesa PAC
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 5:54 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Jawatankuasa Parlimen mendesak Jabatan Audit Negara menjalankan segera audit terhadap syarikat pelaburan yang dilanda kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia menyiasat.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenal pasti isu-isu utama, termasuklah sumber dana RM2 bilion yang digunakan untuk membayar balik pinjaman dan juga suntikan dana baru RM3 bilion seperti dilaporkan.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC juga ingin siasatan pada perjanjian 1MDB dengan syarikat PetroSaudi dan status wang yang disimpan di Cayman Islands.

Audit itu juga akan menggali punca sebenar pertukaran firma  antarabangsa yang bertanggungjawab meluluskan akaun tahunan 1MDB.

"PAC mahu Jabatan Audit Negara menjalankan audit terlebih dahulu ke atas 1MDB sebelum kami memanggil mereka di hadapan jawatankuasa ini tidak lama lagi," kata Nur Jazlan dalam kenyataan.

Menurut ahli parlimen Pulai, langkah itu akan menjelaskan kedudukan sebenar 1MDB yang didanai dengan wang rakyat selaku syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

"Rakyat perlu tahu perkara sebenar dan kerajaan perlu telus dalam hal 1MDB.

"Jika benar segala pelaburan dan operasi syarikat ini sah, biarlah ia disahkan sendiri jabatan kerajaan iaitu Jabatan Audit Negara," katanya.

Lihat Komen
ADS