Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan depan, termasuk menghadiri majlis minum petang diraja bersama Yang di-Pertuan Agong selepas acara pembukaan, kata anaknya.

"Beliau perlu dibenarkan memenuhi jemputan Seri Paduka Baginda untuk minum petang bersama. Ada tempat khas untuk ketua pembangkang dalam majlis itu," kata Nurul Izzah, juga ahli parlimen Lembah Pantai.

Dalam sidang medi di pejabat PKR hari ini, beliau menunjukkan kad jemputan ke sidang Parlimen pada 9 Mac sehingga 9 April ini daripada yang dipertua dewan.

Surat rasmi itu dihantar menggunakan sampul surat bertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda', tambah Nurul Izzah.

Menurutnya, surat undangan kepada Anwar dihantar selepas beliau dijatuhkan hukuman lima tahun penjara pada 10 Februari.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata kuasa untuk membenarkan Anwar keluar untuk menghadiri sidang mulai 9 Mac terletak pada peguam negara.

Menurutnya lagi, pandangannya itu berbeza dengan timbalannya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi sebelum ini berkata Anwar boleh membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri jika mahu menghadiri sidang Parlimen.

Walaupun bersalah dan layak dilucutkan jawatan, Anwar masih lagi sah sebagai ahli parlimen Permatang Pauh sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan.

Keluarganya menfail petisyen pengampunan diraja awal minggu ini.

Lihat Komen
ADS