Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Bayaran hospital di M'sia termurah di dunia

Hospital dan klinik kerajaan di Malaysia menggenakan bayaran perubatan dan kesihatan yang termurah di dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja membelanjakan wang yang besar untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, malah menggenakan bayaran terendah di dunia kepada pelanggan.

"Apabila menjadi pesakit luar dan berjumpa dengan doktor, pelanggan hanya perlu membayar RM1 manakala bayaran RM5 dikenakan jika berjumpa dengan doktor pakar. Ubat-ubatan pula diberi secara percuma.

"Tidak ada sistem kesihatan lain di dunia yang mengenakan bayaran yang sebegini rendah.

"Secara keseluruhannya, subsidi kesihatan di Malaysia mencecah 98 peratus, maknanya 98 peratus kos kesihatan bagi setiap pesakit ditanggung oleh kerajaan, cuma satu atau dua peratus sahaja dikenakan bayaran," katanya.

Perdana menteri berucap demikian ketika merasmikan majlis peletakan batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman, Sarawak hari ini.

"Ini menunjukkan bahawa sistem kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Malah, kalau kita buat analisis antara kos dan perkhidmatan yang disediakan, saya berani mengatakan sistem kesihatan di Malaysia adalah yang terbaik di dunia," katanya.

Menurut Najib, Malaysia disenaraikan sebagai ketiga terbaik daripada 24 negara di dunia dalam penyediaan kemudahan kesihatan.

Sementara itu, Najib berkata pembinaan hospital baru Sri Aman yang dijangka siap pada 2018 sekali lagi membuktikan kerajaan menepati janjinya kepada rakyat.

Katanya, sejumlah RM12 juta dibelanjakan untuk memperoleh tapak dan kerja pembersihan tapak serta anggaran RM150 juta untuk pembinaan struktur bangunan hospital berkenaan.

Beliau berkata, apabila siap kelak, hospital baru itu akan dilengkapi dengan 108 katil dan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan pakar seperti bilik pembedahan, hemodalisis, radioterapi sekaligus merupakan lonjakan daripada segi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan Sri Aman.

"Ini merupakan bukti usaha kerajaan terus membela nasib rakyat dan memberi keutamaan yang tinggi sekalipun di kawasan luar bandar.

"Pembinaan hospital dan klinik termasuk Klinik 1Malaysia, kemudahan pendidikan dan sebagainya akan terus dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan Sarawak.

"Memang masih ada kekurangan, saya tidak nafikan dan banyak cabaran tetapi kita tetap akan memberi dengan membina hospital tambahan dan baru serta dilengkapi dengan doktor-doktor pakar," katanya.

Menurut Najib, disebabkan usaha memujuk doktor-doktor pakar untuk berkhidmat di hospital luar bandar di negeri ini merupakan cabaran yang amat besar, justeru kerajaan akan menyediakan insentif khas kepada mereka.

"Perkara ini sedang kita fikirkan kerana kita mahu hospital-hospital disediakan dengan doktor-doktor pakar yang diperlukan," katanya.

Di majlis itu perdana menteri turut menyampaikan wang ihsan kepada 18 mangsa banjir dari Rumah Lembu, Entulang, Skrang Engkilili dan Nanga Tebat, Sri Aman.

Sementara itu, Najib mengumumkan kerajaan meluluskan pembinaan sebuah balai polis di Beladin, iaitu kira-kira 12 kilometer dari Pusa yang dijangka dapat dimulakan pembinaannya hujung tahun ini.

Menurut Najib, tender bagi pembinaan balai polis itu akan dikeluarkan September depan.

"Barang kali pada hujung tahun ini, jika tidak ada apa-apa aral melintang, projek ini boleh kita mulakan," katanya.

Najib membuat pengumuman tersebut semasa melancarkan projek pembinaan sebuah dewan masyarakat di Beladin, hari ini.

Menurut Najib, pembinaan balai polis tersebut adalah bukti keprihatinan kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

Mengenai pembinaan dewan masyarakat bernilai RM3.6 juta yang dapat memuatkan sehingga 1,000 orang dan mempunyai tiga gelanggang badminton, Najib berkata kerajaan telah memenuhi hasrat penduduk Beladin.

Projek pembinaan dewan di atas tanah seluas 1.5 hektar di hadapan Masjid Beladin Al-Amin itu diluluskan Perdana Menteri semasa lawatannya ke Beladin dua

tahun lalu.

Katanya, projek itu merupakan antara kejayaan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional dan merupakan nikmat yang dikecapi Sarawak yang merdeka dalam Malaysia.

"Kita tak janjikan bulan dan bintang. Kita janjikan yang mampu kita tunaikan. Inilah kredibiliti kita," katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Justeru, beliau meminta rakyat agar menilai sendiri siapa yang benar-benar membantu, menepati janji dan boleh menjadi tempat untuk mereka bergantung harap.

- Bernama

Lihat Komen
ADS