Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelakon tempatan, Mohamed Hadi Putera Halim berkata, beliau telahpun bertemu dengan anak pembesar Kazakhstan, Daniyar Kesikbayev yang disebut-sebut sebagai bakal menantu perdana menteri Malaysia.

Mohamed Hadi yang popular dengan nama Adi Putra berkata beliau bertemu dengan Daniyar ketika kedua-duanya melawat sebuah rumah jagaan orang tua di Puchong, kelmarin.

Hadi turut memuatkan gambar beliau dan Daniyar di Instagram, dan menyatakan rasa terkejut dengan pertemuan itu.

"Tidak sangka, dapat juga dipertemukan dengan kehadiran Daniyar Kesikbayev, bakal menantu perdana menteri kita yang turut membuat lawatan.

"(Orangnya) rendah diri dan tidak menonjol (dan) mempunyai sifat prihatin kepada masyarakat.

“Saya mendoakan agar majlis perkahwinannya dipermudahkan yang bakal berlangsung, agar diberkati dan dirahmati Allah," kata Adi, 34 dalam kapsyen gambar tersebut.

Ditanya sama ada pertemuan itu dirancang atau secara kebetulan, Adi membayangkan bahawa pertemuan di rumah orang tua Al-Ikhlas itu berlaku secara tidak sengaja.

"Saya terjumpa (Daniyar)", katanya kepada Malaysiakini .

Gambar yang dikongsikannya itu menunjukkan Daniyar yang berbaju putih bergambar bersama Adi dan pemilik rumah jagaan tersebut.

Spekulasi mengenai majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bersama Daniyar kini diperkatakan di kalangan pengguna Internet.

Spekulasi itu bertiup kencang selepas gambar yang dikatakan kad jemputan perkahwinan mereka tersebar di media sosial.

Kad jemputan itu menyatakan bahawa perkahwinan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 28 Mac.

Sementara itu, bekas ahli majlis tertinggi Umno yang enggan disiarkan namanya memberitahu Malaysiakini , beliau masih belum menerima sebarang jemputan berkaitan majlis perkahwinan antara Nooryana dan Daniyar.

Ketika ditanya sama ada majlis itu akan diadakan pada 28 Mac depan, beliau hanya berkata "saya dengar begitu".

Lihat Komen
ADS