Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat negara ini bersatu dalam menghadapi apa jua keadaan kerana perpaduan akan menjamin kejayaan dan kesejahteraan bersama pada hari-hari mendatang.

Beliau berkata kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara terletak pada jalinan hubungan kaum yang harmoni.

"Rasa kesangsian, rasa kecurigaan dan rasa ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan perlulah dielakkan.

"Ia pastinya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan yang akhirnya merugikan negara kita serta mensia-siakan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin terdahulu," katanya.

Muhyiddin berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2015 di Dataran Menara Condong di Teluk Intan malam tadi.

Beliau berkata kepelbagaian agama dan budaya penduduk negara ini memberi kesempatan kepada kita untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Tionghua dalam suasana aman dan harmoni.

"Pada malam ini, warga Teluk Intan yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa sama-sama memeriahkan perayaan Tahun Baharu Cina ini dan sekaligus memaparkan ciri-ciri keunikan negara kita Malaysia.

"Kita amat bersyukur dengan keadaan negara kita yang aman dan stabil jika berbanding dengan beberapa negara yang kini sedang bergolak dan rakyatnya menderita," katanya.

Muhyiddin berkata suasana ini memberi ruang kepada kita untuk turut sama merai semua perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dengan penuh rasa muhibah dan meriah.

"Justeru, nikmat yang dimiliki ini seharusnya disyukuri dan keamanan ini harus dipertahankan!.

"Amalan Rumah Terbuka yang telah diwujudkan beberapa tahun lalu dilihat telah memberi banyak manfaat terutama dalam usaha mengeratkan perpaduan kaum di kalangan masyarakat di negara kita di samping menjadi daya tarikan kepada pelancong dari luar negara," katanya.

Katanya usaha seperti ini sudah pasti akan membentuk satu landasan dalam membina dan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dan persaudaraan sesama anggota masyarakat.

Sementara itu, Muhyiddin berkata pada 2015, kerajaan menyasarkan kedatangan pelancong asing sebanyak 29.4 juta melalui penganjuran 'Malaysia Year of Festivals (MyFEST) 2015' dengan pelbagai program pelancongan yang menarik.

Ini termasuk Rumah Terbuka Pelbagai Perayaan di Malaysia, yang merupakan satu daripada program yang sehingga kini telah dapat menarik ramai pelancong dalam dan luar negara.

"MyFest 2015 pastinya akan dapat melonjakkan momentum pertumbuhan ekonomi negara khususnya industri pelancongan.

"Justeru, saya berharap agar program ini diteruskan di tahun-tahun akan datang kerana ia adalah pemangkin kepada hasrat kerajaan untuk menjana pendapatan sebanyak RM168 bilion dengan kedatangan 36 juta pelancong menjelang 2020," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata industri pelancongan negara terus menjadi satu daripada penyumbang utama kepada pembangunan sosioekonomi negara.

"Ia menjadi sumber pendapatan kedua terbesar selepas produk pembuatan dan juga merupakan komponen keenam terbesar dalam ekonomi Malaysia pada 2013 yang telah menyumbang sebanyak RM51.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2013," katanya.

Beliau juga berkata meskipun negara dilanda pelbagai musibah sepanjang 2014, antaranya banjir luar biasa di beberapa negeri pada bulan Disember yang meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada lebih 400,000 mangsa yang terlibat bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Namun, hakikatnya, di sebalik musibah luar biasa yang berlaku ini, ia memberi hikmah perpaduan.

"Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik, bersatu untuk membantu meringankan beban serta kesusahan mangsa banjir.

"Ini menunjukkan bahawa "The unity of our people is alive and well," (Perpaduan rakyat hidup segar) katanya.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa pula, Muhyiddin berkata baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah proaktif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Malaysia kekal pada landasan yang betul sebagai tindak balas kepada perubahan landskap ekonomi global.

Beliau berkata masalah ekonomi semasa yang dialami ketika ini adalah fenomena kitaran jangka pendek dan kerajaan telah, sedang dan akan terus mengambil langkah-langkah tertentu dari semasa ke semasa untuk memastikan masalah yang dihadapi oleh rakyat diambil tindakan segera bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS