Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kira- kira 20,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 yang diadakan di Dataran Menara Condong di Teluk Intan, malam tadi.

Sambutan rumah terbuka itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Ketibaan Muhyiddin dan dan isteri, yang berpakaian serba merah, disambut oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sambutan turut dimeriahkan dengan hiasan lampu dan tanglung berwarna-warni, tarian serta persembahan yang mempesonakan lagi menyemarakkan semangat 1Malaysia dengan kehadiran pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis turut dihadiri peserta MegaFam dari lapan negara termasuk Singapura, Filipina, India, Jepun, Arab Saudi, Iran, Australia dan Rusia.

Sambutan tersebut turut diwarnai oleh pertunjukan bunga api, pameran dan demonstrasi pembuatan kraf.

Pengunjung disaji dengan pelbagai makanan tradisional selain dihibur dengan persembahan tarian singa, tarian naga, pelbagai persembahan pergendangan serta hiburan tarian dan nyanyian Awie, kumpulan Forteen, Shidee dan Shengkwang.

Pemilihan lokasi sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini bertepatan dengan pengisytiharan Menara Condong sebagai Warisan Kebangsaan dan pengumuman itu juga sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Menara Condong yang dibina pada 1885 sebagai tangki air dan menara jam dan mulai condong setelah banjir besar pada 1889 dan 1895 disebabkan struktur tanah yang lembut dan bebanan tangki air. Reka bentuk binaanya unik memaparkan keindahan seni pertukangan tradisional pagoda Cina.

- Bernama

Lihat Komen
ADS