Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Piah Samad, ibu kepada Sirul Azhar Umar, yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, berlepas ke Australia untuk menemui anaknya malam ini.

Kali terakhir Piah,74, bertemu Sirul dikatakan ketika Mahkamah Rayuan membebaskan anak keempatnya itu daripada tuduhan.

Piah bersama anak perempuannya Noriatin Umar tiba di KLIA pada jam 9 malam tadi.

Turut hadir bersama adalah Ketua Pemuda PAS Perak, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, pemimpin pusat PAS Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan pembantunya serta seorang peguam.

Sementara itu,  Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar, yang menguruskan penerbangan itu berkata beliau berharap pemergian mereka ke negara kanggaru itu tidak dilihat sebagai ancaman kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, kata Mahfuz yang juga MP Pokok Sena, ia hanya misi kemanusiaan membawa ibu yang merindui anaknya.

“Saya harap semua pihak menghormati jiwa perasaan seorang ibu yang merindui anaknya,” katanya dalam sidang media di KLIA.

Tambahnya lagi, dengan membawa Piah dan anaknya malam ini sekali gus akan menjawab persoalan “dengan siapa selama ini Mahfuz berhubung dalam telefon”.

Naik pesawat MH123

Mahfuz turut menggelarkan pemergian mereka ke Australia selama tujuh hari sebagai “C4 (see for) yourself” atau pergi untuk lihat sendiri.

Kumpulan itu mendaftar masuk pada jam 10 malam dengan akan menaiki pesawat MH123.

Sebelum ini Sirul, bekas anggota polis elit itu, kini ditahan oleh pihak imigresen negara itu di Sydney.

Beliau pada 13 Januari lalu diputuskan bersalah membunuh Altantuya bersama Azilah Hadri. Mereka dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul tidak dapat dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia kerana undang-undang Australia tidak membenarkan seseorang yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara hukuman disabitkan.

Beliau kini menjadi perhatian dunia selepas mengugut untuk membongkar “segala-galanya” berhubung kematian warganegara Mongolia itu.

Ini kerana, walaupun hukuman dijatuhkan, motif pembunuhan itu sehingga ini masih tidak terungkai.

Lihat Komen
ADS