Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Malaysia menyokong sepenuhnya pemasangan sistem penjejakan pesawat yang membolehkan pihak berkuasa pantas bertindak terhadap situasi luar biasa seperti kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 pada Mac tahun lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sistem yang dibangunkan oleh Australia merupakan sistem penjejakan jet yang pertama di dunia dan berpotensi untuk mengukuhkan lagi sektor penerbangan antarabangsa.

"Sebelum ini, Malaysia telahpun mencadangkan kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) supaya mengkaji pemasangan sistem Penjejakan Pesawat Masa Nyata bagi semua penerbangan komersial antarabangsa. 

"Kami menerima respons positif daripada ICAO dan saya fikir mereka akan melaksanakannya secara berperingkat. Kami perlu terus meningkatkan langkah-langkah keselamatan penerbangan antarabangsa kerana kami tahu, selepas apa yang berlaku kepada MH17 dan MH370, ia membuka mata kepada dunia bahawa sektor penerbangan perlu memperketatkan langkah-langkah keselamatan," katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Ipoh di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah, di Ipoh hari ini.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss dilaporkan oleh akhbar negara itu sebagai berkata negara itu sedang menguji sistem penjejakan jet yang pertama di dunia dengan Malaysia dan Indonesia akan meningkatkan kebolehjejakan pesawat di kawasan terpencil dan membolehkan pihak berkuasa segera bertindak balas terhadap situasi luar biasa seperti kehilangan MH370.

Sistem itu juga meningkatkan kadar penjejakan minimum bagi pesawat yang terbang di ruang udara lautan terpencil kepada 15 minit berbanding waktu selang 30 hingga 40 seperti sekarang.

Sementara itu, mengenai spekulasi liar, khabar angin dan berita palsu berhubung MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu, Liow berkata mulai sekarang, Malaysia hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh Inmarsat dan Pusat Kawalan Trafik Udara kerana pihak berkenaan yang memberi penunjuk bahawa penerbangan itu menuju ke selatan Lautan Hindi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS