Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kempen Penurunan Harga 2015 peringkat Kebangsaan yang bermula hari ini, tetap dilaksanakan meskipun berlaku kenaikan harga petrol dan diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata harga petrol bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan naik atau turun harga sesuatu barang kerana ia turut dipengaruhi faktor lain seperti ketidaktentuan cuaca, bencana alam, peningkatan kos sewa beli dan persekitaran ekonomi.

"Kenaikan harga barang ialah sesuatu yang berlaku di mana-mana saja di dunia," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen itu di pasar raya 'The Store' di pusat membeli-belah Kuantan Parade di Kuantan, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepengunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin dan Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan 'The Store', Winky Pek.

Hasan berkata kementerian mengambil pelbagai inisiatif seperti mengadakan pertemuan dengan pengilang, pemborong, pembekal, peniaga dan persatuan dalam mencari jalan untuk menurunkan harga barang.

"Usaha seperti ini yang membolehkan kita anjurkan kempen sebegini bagi meringankan beban rakyat selain mengadakan anugerah kedai harga patut. Pada 2014, sebanyak 3,744 premis menerima anugerah ini dan daripada jumlah itu, 82 premis terdapat di Pahang," katanya. 

Hasan juga menyifatkan pelancaran kempen yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara itu sebagai sejarah kerana dilakukan sehari selepas pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel.

Kementeriannya semalam mengumumkan harga petrol dan diesel naik 25 sen seliter mulai tengah malam tadi menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97 RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter.

Mengulas mengenai kempen itu, Hasan berkata sebanyak 16 pasar raya besar mengambil bahagian, antaranya The Store, Tesco, Aeon Big, Giant, Mydin, Milimewa Supermarket & Department Store, Econsave Cash & Carry, 99 Speed Mart, Pasar Raya D'One Mart dan Pasar Raya Hock Kee Seng.

Ia melibatkan lebih 1,000 cawangan pasar raya di seluruh negara, dengan lebih 82,000 produk keperluan harian seperti makanan dan pakaian ditawarkan dengan diskaun antara 10 ke 70 peratus, katanya.

"Tempoh kempen berbeza mengikut pasar raya, iaitu antara sebulan hingga tiga bulan mengikut kemampuan pasar raya terlibat dan sambutan pengguna, namun yang paling penting ialah walaupun harga turun, kualiti produk masih kekal," katanya.

Hasan berharap peniaga lain juga boleh mengambil inisiatif untuk menganjurkan kempen serupa bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati faedah penurunan harga barang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS