Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir sidang Dewan Rakyat pada Isnin ini semakin suram apabila Speaker tidak membuat sebarang persetujuan kerana masih berada di luar negara.

Malaysiakini dimaklumkan Tan Pandikar Amin Mulia berada di luar negara sehingga 8 Mac, sehari sebelum persidangan bermula.

Sementara timbalannya Datuk Seri Ronald Kiandee enggan mengulas status ketua pembangkang, yang kini dipenjara atas kesalahan meliwat. Anwar masih kekal sebagai ahli parlimen sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan.

"Anda kena semak dengan speaker," kata Kiandee memberi tahu Malaysiakini hari ini.

Anwar telah menjawab undangan untuk hadir sidang Dewan Rakyat mulai 9 Mac.

Ketua whip PKR Datuk Johari Abdul ( kanan ) telah menyampaikan surat tersebut kepada Pandikar pagi ini.

"Saya berharap Pandikar akan membuat keputusan tidak lama lagi.

"Saya harap dia akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa sebagai speaker untuk membuat keputusan yang sewajarnya untuk Anwar menghadiri sesi tersebut," kata Johari pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sementara itu, ahli parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, sekiranya Pandikar tidak membenarkan Anwar menghadiri sidang Parlimen yang akan diadakan pada 9 Mac depan, ia menunjukkan speaker itu menentang perlembagaan.

Ini kerana, katanya, mengikut perlembagaan, Pandikar tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang Anwar daripada menghadiri sidang itu.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan tiada halangan untuk dia (Pandikar) menghalang," katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Sebelum ini, Anwar mendapat kad jemputan ke sidang Parlimen daripada yang dipertua dewan.

Surat rasmi itu dihantar menggunakan sampul surat bertulis “Urusan Seri Paduka Baginda”.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS