Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengesan 'dalang' di sebalik tindakan sekumpulan individu menghina pemimpin kerajaan dan isterinya serta polis dalam Facebook dan You Tube, baru-baru ini.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC), yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden MJMM Datuk Abdul Rani Kulup Abdullah berkata pihaknya telah membuat tiga laporan polis terhadap individu dan kumpulan terbabit kerana menjatuhkan nama baik, imej dan maruah pemimpin negara dan institusi penguat kuasa.

"Laporan pertama iaitu terhadap individu yang menggunakan nama akaun Facebook Chee Kong Lee, memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Laporan kedua pula mengenai tindakan individu dalam akaun Facebook Peter Lee yang memuat naik gambar isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang diedit," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Abdul Rani turut mengemukakan laporan polis mengenai klip video memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelar diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) yang mengancam untuk membunuh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Baru-baru ini, sebuah video berdurasi satu minit 27 saat menjadi viral dalam media sosial YouTube, yang antara lain mengugut untuk membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya.

Berikutan itu, Khalid dalam satu kenyataan Rabu lepas berkata beliau tidak gentar terhadap ugutan bunuh yang diterimanya dan langsung tidak bimbang kerana sebagai ketua polis, menerima ugutan bunuh adalah lumrah ketika menjalankan tugas.

Dua hari lepas, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes ugutan bunuh oleh kumpulan AMAD terhadap ketua polis negara. Polis juga sedang bekerjasama dengan SKMM untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam ugutan itu.

"Kami menggesa PDRM dan SKMM menyiasat dan menangkap individu dan kumpulan berkenaan yang cuba mencetuskan kontroversi dan bawa mereka ke muka pengadilan dengan memberikan hukuman berat terhadap pesalah itu supaya dapat menjadi pengajaran dan contoh kepada penjenayah lain," kata Abdul Rani.

- Bernama

Lihat Komen
ADS