Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keadaan mabuk sebagai faktor pembelaan tidak membantu seorang pemandu bas pelancongan daripada hukuman penjara atas kesalahan memeluk isteri kawan dengan niat mencabul kehormatan wanita itu, Khamis lepas.

M Rengasamy, 31, dikenakan hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Cheras pada pukul 6.20 pagi, 26 Feb lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana seksaan, jika sabit kesalahan.

Majistret Saifullakmal Said memerintahkan Rengasamy menjalani hukuman dari tarikh tangkapan pada hari kejadian.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman paling ringan kerana dia berada dalam keadaan mabuk dan menyangka dia berada di rumah sendiri serta kesal atas perbuatannya itu.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman penjara dikenakan kerana tertuduh tidak tinggal di rumah tersebut dan sebagai amaran kepada orang lain.

Beliau berkata alasan keadaan mabuk tertuduh tidak boleh dijadikan faktor pembelaan kerana dia sendiri yang meletakkan diri dalam keadaan mabuk.

- Bernama

Lihat Komen
ADS