Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuhdi bimbang PAS jadi parti liberal, sekular
Diterbitkan:  Mar 2, 2015 8:58 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Seorang pemimpin PAS bimbang parti itu bertukar sekular seperti berlaku terhadap parti Islam Istiqlal di Maghribi, yang diasaskan oleh ulama berpengaruh Allal Abdul Wahid al-Fasi.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki, hal itu berlaku kerana penguasaan “pemimpin berfikiran liberal” dalam tampuk kepimpinan merubah dasar kepada liberal dan sekular.

"Parti Istiqlal dilihat telah meninggalkan banyak dasar-dasar Islam apabila membiarkan pelbagai dasar bercanggah dengan Islam menjadi sebahagian dasar negara Maghribi terutamanya di era kompromi dengan parti sosialis membentuk kerajaan bersama dari tahun 1992 hingga 2007," katanya.

Dr Zuhdi ( kiri ) berkata demikian dalam program perkhemahan Mukhayyam Tarbawi anjuran Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Hulu Langat yang disiarkan dalam laman sosial Facebook Dewan Ulama parti itu.

Menurutnya, benih awal Istiqlal tumbuh pada 1937 sebelum ditubuhkan secara rasmi pada 1944 sebagai parti Islam dan seterusnya berkongsi pemerintahan di negara itu sepanjang tahun 1960-an hingga 1980-an.

"Pada 1973, Syeikh Allal Abdul Waahid al-Fasi berkata kepada para ulama Maghribi bahawa parti Istiqlal tidak lagi bersifat Islam.

“Sekiranya kamu ingin kekalkan sifat Islam yang ada pada parti perlulah kamu sertainya segera sekarang," katanya dipetik.

Allal tokoh gerakan Islam dilahirkan pada 1910 dan meninggal pada 1974.

Beliau mempunyai puluhan karya tentang Islam termasuk dalam bidang maqasid dan usul fekah.

Kecairan identiti

Mengulas lanjut, Dr Zuhdi turut bimbang apabila situasi yang hampir sama berlaku kepada parti AKP di Turki yang berdepan "kecairan identiti" sehingga terdapat calon wanitanya tidak memakai tudung.

"Barangkali ada yang berbangga kerana dilihat diterima oleh orang tidak memakai tudung kepala, tetapi kita harus ingat calon adalah mewakili kepimpinan.

"Sekiranya pemimpin sendiri sudah hilang identiti Islam, bagaimanakah ia akan membawa mesej Islam dalam erti kata yang lebih menyeluruh," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya ahli dan pendukung PAS terus mempertahankan prinsip perjuangan agar tidak tersasar “sehinggalah tertegak negara Islam”.

Lihat Komen
ADS