Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga lelaki termasuk dua penjawat awam, dan seorang gadis di bawah umur yang melakukan peras ugut dan samun berkawan terhadap lelaki hidung belang ditahan di Kuala Lumpur Sabtu lepas.

Kedua-dua penjawat awam dalam lingkungan 30-an bersama lelaki berusia 40-an dan gadis berusia 17 tahun itu ditahan di dua tempat berasingan di sekitar bandaraya ini selepas polis menerima aduan daripada salah seorang mangsa pada 19 Feb. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata kumpulan itu menggunakan gadis berkenaan, yang merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek lelaki itu, untuk memerangkap mangsa.

Mereka mensasarkan mana-mana tempat penginapan, sebelum suspek lelaki menyerbu meminta wang ganti rugi dan menyamun barangan mangsa.

"Pengadu kes berjumpa gadis itu di sebuah pub di Jalan Ipoh, dan membawa gadis itu ke sebuah hotel di Kepong Baru lebih kurang pukul 6 pagi selepas gadis itu memaklumkan bahawa beliau menyukainya dan bersetuju untuk tidur bersama.

"Pada pukul 7.15 pagi seorang daripada suspek lelaki mengetuk pintu dan menunjukkan kad warna merah sambil mengenalkan diri sebagai polis.

"Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak memukul mangsa dengan salah seorang memaklumkan bahawa gadis itu adalah adiknya, sebelum meminta wang ganti rugi sebanyak RM2,000.

"Dua lagi suspek mengambil semua barang milik pengadu termasuk kereta jenis BMW," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Munusamy berkata kereta mangsa berjaya dijumpai di salah sebuah rumah suspek selepas penahanan dibuat.

"Setakat ini hanya ada satu laporan berkaitan kegiatan suspek, namun kami percaya suspek sebelum ini terlibat dalam tiga lagi kes berasingan yang tidak dilaporkan mangsa," katanya.

Selain empat suspek yang ditahan, Munusamy berkata pihaknya sedang mencari seorang lagi suspek yang turut terlibat dalam kegiatan itu. 

Tambah beliau, berdasarkan rekod, hanya seorang suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam perkembangan lain, Munusamy berkata seorang lelaki berumur 58 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah kuil Hindu di bekas tapak kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad di Sentul Pasar kerana memiliki dadah jenis ganja.

Beliau berkata sebanyak 70 paket kecil ganja seberat 658 gram turut dirampas daripada suspek yang dipercayai sedang mengedarnya ketika serbuan dibuat.

"Hasil ujian saringan awal ke atas suspek mendapati beliau positif THC.

"Suspek kini direman dan akan dituduh bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS