Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan cemerlang berkat jaga ibu sakit
Diterbitkan:  Mar 4, 2015 8:38 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Berkat menjaga ibu yang sakit akibat diserang strok, seorang pelajar Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru memperoleh 9A dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan semalam.

Nur Fara Asyiqin Mohd Razali, 18, berasal dari Bandar Baru Bangi itu sering ketinggalan program yang dianjurkan di luar sekolah kerana mahu menjaga ibunya yang sakit terutama semasa cuti penggal.

Bahkan setiap dua minggu sekali gadis ini akan pulang ke Bangi, Selangor untuk menjaga ibunya pada hujung minggu.

"Saya pernah terfikir hendak keluar dari sekolah ini setelah mendapat khabar yang ibu saya diserang strok.

"Bagaimanapun, saya pasrah dan terus menjaga ibunya kerana percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengambil keputusan SPM di sekolahnya hari ini.

Anak bongsu dari lapan adik-beradik itu, yang meminati sains dan sejarah, berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang perubatan forensik.

Antara sebab yang mendorong kepada kejayaan Nur Fara dalam peperiksaan itu ialah tabiat suka mengulang kaji mata pelajaran sebelum proses pembelajaran keesokan hari.

"Selain itu, saya sentiasa beristiqamah dalam apa yang saya buat. Saya turut mengamalkan pembacaan Surah Yaasin, Al-Luqman serta berqiammulail," kata anak kepada bekas pensyarah itu.

Sementara itu, Chong Chen Hoi, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di Johor Bahru, menyifatkan usahanya mengurangkan masa tidur untuk mengulangkaji pelajaran membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapat 11A.

"Saya korbankan sedikit masa tidur dan sentiasa mencari masa yang sesuai untuk belajar memandangkan saya juga perlu mengikuti aktiviti kokurikulum," kata anak kepada tukang paip itu.

Naib Pengerusi Persatuan Bahasa Mandarin itu, yang mahu menjadi seorang doktor kelak, berkata resipi kejayaannya ialah percaya pada usaha sendiri serta menghargai jasa dan pengorbanan kedua ibu bapanya serta guru-guru yang pernah mengajarnya.

 - Bernama

Lihat Komen
ADS