Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan PAS: Tak mustahil Hadi dicabar
Diterbitkan:  Mar 4, 2015 1:19 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Pelbagai pihak dalam PAS termasuk pemerhati politik tidak menolak kemungkinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal dicabar dalam pemilihan parti pada Jun ini.

Bagaimanapun cabaran itu bergantung kepada pencalonan yang diputuskan dalam mesyuarat agung dan suara akar umbi peringkat kawasan, lapor Sinar Harian .

Yang Dipertua PAS Pendang, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata pencalonan jawatan presiden di luar kawalan kerana calon-calon bagi jawatan yang dipertandingkan perlu mendapat persetujuan ahli.  

“PAS kawasan Pendang juga belum buat keputusan siapa yang akan dicalonkan sebagai presiden dan timbalan presiden, termasuk semua jawatan dipertandingkan.

"Kita akan putuskan siapa calon layak dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan, 18 April depan,” Mohamed seperti dilaporkan  akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut, Mohamed Taulan berkata setiap kawasan berhak mencalonkan pemimpin yang difikirkan layak dan mana-mana pemimpin tiada hak untuk campurtangan bagi menentukan calon tertentu tidak layak dicalonkan.

Sementara itu dalam laporan yang lain, seorang penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan meramalkan Hadi bakal dicabar dan pemimpin yang dilihat berpotensi mencabar Hadi adalah Timbalannya Mohamad Sabu.

"Dalam apa yang digelar golongan profesional dalam PAS, Mohamad paling lantang bersuara dan dilihat kurang sealiran dengan Abdul Hadi.

"Jadi, golongan profesional ini akan mengangkat seseorang yang dikenali ke hadapan dan boleh mendapatkan sokongan daripada ahli PAS," kata Azmi seperti dilaporkan akhbar itu.

Tarikh tutup untuk pencalonan peringkat pusat  pada 30 April, manakala pemilihan PAS dijadualkan berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini.

Lihat Komen
ADS