Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Himpunan solidariti ketua Umno bahagian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa protes yang dirancang untuk menggesa pengunduran beliau mulai memberikan kesan, kata Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata hal ini kerana pertemuan itu bakal diadakan sehari selepas protes 7 Mac yang akan diadakan di depan pusat membeli belah Sogo di Kuala Lumpur.

"Bagi mereka mengadakan pertemuan ini sehari selepas perhimpunan kita, menunjukkan apa yang kita perkatakan semakin berkesan," katanya.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PKR, Nik Nazmi juga berkata Umno mempunyai hak mengadakan perhimpunan itu pada Ahad, selepas perhimpunan protes 'Kita Lawan' diadakan di jalanan sehari sebelum ini.

Spekulasi tercetus berhubung perhimpunan 'Solidariti bersama PM' yang adakan ketika serangan terhadap Najib dalam pelbagai isu seperti isu hutang 1Malaysia Development Bhd.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menafikan perhimpunan Ahad ini untuk menunjukkan sokongan terhadap presiden parti tetapi sekadar pertemuan biasa.

Sementara itu, perhimpunan #KitaLawan yang akan diadakan pada Sabtu ini bukan untuk menegakkan keadilan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Sebaliknya, kata AMK, ia juga untuk seluruh rakyat Malaysia yang didakwanya dibelenggu dasar Umno dan BN yang lemah dan tidak memahami masalah rakyat dan tidak pandai menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial negara.

AMK menegaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini bagi menyatakan sokongan penuh terhadap usaha gerakan massa #KitaLawan yang akan berhimpun secara aman Sabtu ini di Sogo, Kuala Lumpur.

Selain di ibu negara, himpunan solidariti membantah pemenjaraan ketua pembangkang  itu juga akan diadakan di luar negara, antaranya Old Palace Yard, London - berdekatan dengan bangunan Parlimen United Kingdom; di depan Bangunan Parlimen Australia, di Canberra, di depan Parlimen South Australia, di Adelaide dan di Liberty Square di Taipei, Taiwan.

Sehubungan itu, AMK meminta orang ramai untuk menyertai perhimpunan itu. Pemimpin AMK akan berkumpul di tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu di Masjid Jamek, Pasar Seni dan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Sebelum perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu ini, 400 orang telah mengadakan perkumpulan awal  di Sogo pada 14 Februari lalu. Ekoran itu aktivis siswa Adam Adli, Penyelaras Jingga 13 Faris Musa dan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad ditahan di bawah Seksyen 143, Kanun Keseksaan Akta Himpunan Aman 2012. Mereka kemudiannya dibebaskan.

Lihat Komen
ADS