Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gangguan bekalan air pulih sepenuhnya Khamis
Diterbitkan:  Mar 4, 2015 5:56 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Gangguan bekalan air di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang yang terjejas akibat pencemaran air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dijangka akan pulih sepenuhnya esok.

    

Bekalan air di satu lagi wilayah yang terjejas iaitu Hulu Langat pula dijangka akan pulih sepenuhnya Jumaat ini, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyatan hari ini.

    

Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd telah menjalankan operasi rawatan air sejak pukul 1 pagi Rabu dan sehingga jam 2 petang tadi, lebih 77 peratus kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang telah dipulihkan manakala di Hulu Langat, 45 peratus kawasan terjejas telah dipulihkan.

    

"Bagi mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan yang belum pulih sepenuhnya bekalan air masing-masing, pihak SYABAS akan terus menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui 49 lori tangki yang telah digerakkan sejak berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual ini," kata kenyataan itu.

    

Katanya, keutamaan bantuan kecemasan air diberikan kepada kecemasan seperti kematian, dan majlis perkahwinan selain hospital, pusat dialisis dan rumah-rumah kebajikan.

    

Bagi mendapatkan perincian status pemulihan bekalan air mengikut setiap kawasan, pengguna digalakkan mengakses laman web SYABAS www.syabas.com.my, yang akan dikemaskini setiap dua jam.

    

Aplikasi telefon pintar mySYABAS boleh dimuat turun menggunakan Google Playstore dan Appstore dan juga portal pengguna SYABAS.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS