Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet yakin tiada salah laku dalam 1MDB
Diterbitkan:  Mar 4, 2015 7:59 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Kabinet yakin tiada salah laku dalam urus niaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

PMO berkata jemaah menteri mengambil maklum bahawa tuduhan terhadap 1MDB baru-baru ini berkaitan urus niaga pihak ketiga yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan nasional.

"Kabinet diberitahu bahawa tuduhan-tuduhan terkini terhadap 1MDB berkaitan urus niaga pihak ketiga seperti Petrosaudi, bukan 1MDB.

"Pelaburan 1MDB yang relevan telah dikembalikan sepenuhnya dengan keuntungan selepas audit yang berbaloi.

"Selepas menerima penjelasan daripada 1MDB dan Deloitte, kabinet menzahirkan keyakinan mereka bahawa tiada sebarang salah laku dibuat oleh 1MDB," kenyataan PMO dipetik.

Sebagai langkah selanjutnya, kata PMO, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Laporan itu akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi  Parlimen.  

 
"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Najib.    
 
Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam respons segera, presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul Kanda berkata syarikat itu menyambut baik permintaan perdana menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB.   
 
Ia menyatakan akaun itu telah diaudit oleh Deloitte, salah sebuah firma terkemuka di dunia.  
 
"Kami akan bekerjasama penuh dengan Ketua Audit Negara dan berharap hasil siasatan beliau (akan) menamatkan spekulasi baru-baru ini," katanya.  
 
Arul berkata adalah jelas serangan terhadap 1MDB bermotif politik. 
 
"Ini percubaan yang terancang untuk merosakkan syarikat itu dengan menyebarkan tuduhan dan spekulasi tidak berasas, yang seterusnya berpotensi merosakkan ekonomi," katanya.
Lihat Komen
ADS