Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Paras air di Gemencheh kritikal
Diterbitkan:  Mar 5, 2015 7:13 AM
Dikemaskini: Mar 5, 2015 1:41 AM

Paras air Empangan Gemencheh kini berada pada tahap kritikal apabila turun kepada 93.85 meter, sedangkan paras kritikal 95 meter dan paras minimum 86 meter.

           

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelan jangka pendek antaranya membeli air terawat daripada Syarikat Air Melaka Bhd bagi mengatasi krisis air ini.

           

"Empangan lain di negeri ini berada pada paras yang baik. Hanya Empangan Gemencheh sahaja yang terjejas kerana empangan tersebut tidak menerima air yang secukupnya untuk dirawat," katanya kepada media semalam selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

           

Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) juga telah melaksanakan pelan jangkapendek iaitu membuat catuan air berjadual kepada penduduk di sekitar Tampin dan Rembau bermula hujung tahun lepas.

           

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh SAINS, Empangan Sg Terip mencatatkan jumlah takungan sebanyak 100.98 meter, Kelinchi 201.68 meter, Talang (Ulu Muar) 145.65 meter, Sg Beringin 135 meter, Ulu Sepri 135 meter dan Teriang 182.15 meter.

 

Sementara itu, di Kedah, paras air di tiga empangan utama yangmenyalurkan air untuk kegunaan domestik di Kedah berada pada tahap normal walaupun berlaku musim kering sejak Disember hingga penghujung Mac ini.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata paras air Empangan Pedu setakat ini berada pada 95.25 meter, Empangan Muda pada tahap 99.04 meter dan Empangan Ahning 108.90 meter.

           

Katanya purata hujan yang turun di kawasan tadahan di ketiga-tiga empangan itu pada Jan sebanyak 38.33mm dan sehingga 24 Februari lepas pula ialah sebanyak 89.05mm.

           

Beliau berkata, sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan sehingga akhir Mac ini, empangan Pedu dianggar mempunyai takungan air sebanyak 938 juta meter padu dan mencukupi untuk keperluan domestik dan industri. 

 

"Air di empangan Pedu juga cukup untuk musim penanaman padi bagi musim 1/2015 yang dijadual bermula pada penghujung Mac tahun ini," menurut kenyataan itu.

 

Sementara itu, anggota Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim mengingatkan semua masyarakat supaya berjimat cermat dalam menggunakan air walaupun negeri mempunyai bekalan air yang mencukupi dalam tempoh lima bulan lagi.

           

Katanya, dengan takungan air sedia ada kerajaan negeri tidak bercadangmengenakan catuan air. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS