Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Selangor telah mendapatkan taklimat daripada agensi yang berkaitan iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor pada hari ini, 5 Mac 2015.

Kerajaan negeri mendapati bahawa keadaan pembekalan air di Selangor dalam keadaan yang terkawal dan menjangkakan dapat terus membekalkan bekalan air kepada pengguna.

Keyakinan kerajaan negeri berdasarkan kepada keupayaan kerajaan Selangor menyediakan sumber air mentah yang mencukupi.

Ia adalah berdasarkan kedudukan paras empangan di seluruh negeri setakat 5 Mac 2015 adalah di atas daripada paras kritikal seperti berikut:

i   Empangan Sungai Selangor : 75.05%

ii  Empangan Sungai Tinggi   : 69.62%

iii Empangan Sungai Semenyih : 94.70%

iv  Empangan Sungai Langat   : 94.64%

v   Empangan Batu            : 89.07%

vi  Empangan Klang Gates     : 86.79%

vii Empangan Tasik Subang    : 97.51%

Paras ini menunjukkan paras yang lebih tinggi berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas. Contohnya pada 4 Mac 2014, paras Empangan Sungai Selangor mencatatkan bacaan pada 44.84% berbanding pada hari ini iaitu sebanyak 75.05%.

Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Selangor iaitu meliputi 60% daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan negeri telah dan akan terus melaksanakan tindakan-tindakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air serta kesediaan sumber air di empangan seperti berikut:

i. Meneruskan operasi pembenihan awan (cloud seeding) yang membolehkan hujan turun di kawasan tadahan dan lembangan sungai;

ii. Menerus dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air tersebut;

iii. Mengawal pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia ada;

iv. Mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar untuk memantau dan mengawal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air; dan

v. Penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih termasuk semasa waktu cuti.

Kerajaan negeri juga telah memindahkan air dari terowong Langat 2 ke Sungai Langat yang bertujuan untuk memberdaya ketahanan Sungai Langat untuk Loji Rawatan Air Sungai Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11.

Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan tindakan-tindakan untuk kelangsungan bekalan air secara jangka panjang seperti berikut :

i. Pembangunan sistem HORAS

Projek HORAS adalah usaha untuk menakung lebihan air larian sungai (stormwater) ke dalam suatu kolam takungan yang dikenali sebagai HORAS untuk digunakan sebagai sumber air tambahan bagi digunakan oleh loji rawatan air.  

Pembangunan HORAS ini dibangunkan secara berfasa iaitu HORAS 600 bagi fasa pertama yang akan mula siap pada September 2015 dan HORAS 3000 yang masih dalam peringkat kajian perbandingan.

ii. Pengurangan kadar air tidak berhasil atau Non Revenue Water (NRW)

Pada ketika ini kadar NRW adalah pada 35%. Kerajaan negeri mahukan supaya kadar NRW ini dapat diturunkan pada tahap 25% dalam tempoh lima (5) tahun iaitu sehingga tahun 2020 selaras dengan perancangan penurunan NRW Kebangsaan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

iii. Penyaluran air mentah Sungai Bernam

Kajian terperinci sedang giat dilaksanakan untuk memastikan sumber air tersebut dapat membantu memperkasakan aliran air di Sungai Selangor.

iv. Pembangunan off-river storage (ORS) di Sungai Semenyih / Sungai Langat

Membangunkan sumber air tambahan sebanyak 100 hingga 200 JLH di Sungai Semenyih dan Sungai Langat melalui sistem ORS.

Kerajaan negeri mendapati bahawa penggunaan air perkapita bagi rakyat di Selangor pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

Kerajaan negeri ingin menasihatkan kepada pengguna supaya turut sama mengurangkan perkapita penggunaan air setiap isi rumah supaya tanggungjawab menjaga kelangsungan bekalan air turut dikongsi oleh semua pengguna.

Kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk mendidik pengguna menerusi program konservasi bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan terutamanya berkaitan sumber air seperti berikut:

i. Sambutan Hari Air Sedunia peringkat Negeri Selangor;

ii. Dialog bersama industri dan pengilang;

iii. Program bersama pihak sekolah, universiti dan komuniti;

iv. Pemuliharaan dan tanaman semula pokok bakau;

v. Pantai angkat dan sungai angkat bersama komuniti;

vi. Pemeliharaan sumber air melalui program kitar semula minyak masak terpakai; dan

vii. Edaran risalah berkaitan sumber air

Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan seperti di atas, Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa bekalan air di Negeri Selangor dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan.


AZMIN ALI menteri besar Selangor dan timbalan presiden PKR.

Lihat Komen
ADS