Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysiakini portal berita No 1 di Malaysia
Diterbitkan:  Mar 6, 2015 8:11 AM
Dikemaskini: 9:29 AM

Malaysiakini, portal berita bebas di negara ini, kembali menebus kedudukannya sebagai lamanweb berita di Malaysia yang paling banyak diakses sama ada melalui komputer meja atau komputer riba.

Menurut Malaysian Digital Association (MDA) dan laporan comScore bagi bulan Januari, Malaysiakini menduduki tempat pertama dengan sejumlah 1.25 juta pelawat unik bulanan.

The Star pula di tempat kedua dengan 1.16 juta pelawat unik manakala portal Melayu Harian Metro di tempat tiga (996,000), diikuti oleh The Malaysian Insider (951,000) dan sebuah lagi portal Melayu, Sinar Harian (773,000).

 
Ini adalah kali pertama Malaysiakini menduduki tempat teratas sejak bulan Mei tahun lepas.

Dalam tempoh tujuh bulan yang lalu, Malaysiakini mengekori sama ada The Star atau Harian Metro dan pada bulan-bulan tertentu, ia berada di belakang kedua-dua laman web itu.

       
Ketua pengarang kumpulan Malaysiakini, Steven Gan berkata ia merupakan satu cabaran yang semakin sengit untuk laman web langganan untuk mengekalkan kedudukan utamanya memandangkan pesaingnya merupakan laman percuma.
 
"Namun, kami memulakan tahun ini dengan langkah yang betul. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kami dapat mengekalkan kedudukan nombor satu kami sepanjang 2015," katanya.
 
Laman mudah alih dirombak
 
Menurut Gan, Malaysiakini, sebagai laman web berita sosio-politik, juga bergantung kepada iklim politik negara.
 
"Jika bahang politik meningkat, begitulah juga dengan trafik Malaysiakini ."
 
Beliau berkata portal itu baru sahaja merombak laman mudah alihnya dan mereka yang mempunyai telefon pintar boleh mengaksesnya melalui m.malaysiakini.com .
 
Dalam bulan-bulan yang akan datang, Malaysiakini akan mereka-bentuk semula laman desktop serta aplikasi mudah alih.
 
"Kami juga merancang untuk mengadakan mesyuarat kumpulan fokus dengan pelanggan setia kami untuk berjumpa dengan mereka dan mendapatkan maklum balas mengenai bagaimana kami dapat menyediakan yang terbaik untuk pembaca kami," kata Gan.
 
MDA dan comScore, yang mengeluarkan laporan bulanan mereka, akan mengumumkan keputusan bagi bulan Februari dalam beberapa minggu yang akan datang.
 
MDA ditubuhkan pada bulan Disember 2009 untuk bertindak sebagai pemantau bagi pengiklanan digital dan industri pemasaran di Malaysia. Syarikat Amerika, comScore pula adalah salah satu peneraju global yang mengukur penonton digital dalam industri itu.
Lihat Komen
ADS