Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadiah untuk anak PM disalur ke badan amal
Diterbitkan:  Mar 7, 2015 6:44 AM
Dikemaskini: Mar 7, 2015 10:29 AM

Tetamu kenamaan (VIP) majlis perkahwinan anak perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak digalakkan menghadiahkan cenderahati berbentuk sumbangan wang kepada badan kebajikan dan pendidikan.

Anaknya Nooryana Najwa Najib, 26, dan tunang Daniyar Kessikbayev, 27, memohon tetamu yang ingin berbuat demikian menyerahkan dana dalam bentuk cek atas nama satu daripada organisasi-organisasi yang disenaraikan.

Saranan itu disertakan dalam kad undangan, yang berhias indah, ke majlis tersebut yang diadakan malam 28 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Senarai lima organisasi tersebut dan akaun bank mereka diletakkan di dalam kotak berwarna emas dan putih yang mengandungi skrol nama tetamu.

Lima badan ini termasuklah Yayasan Orang Asli, yang dinaungi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, dan Yayasan Amal Malaysia cawangan Sarawak.

Yayasan Amal Malaysia, NGO yang beribu pejabat di Batu Caves, Selangor, dianggap dekat dengan beberapa pemimpin PAS.

Berdasarkan foto-foto kad jemputan perkahwinan yang dilihat oleh Malaysiakini , tiga lagi badan kebajikan dan pendidikan itu:

- Maahad Tahfiz al-Quran Qasimul Ulum (MATAQU), yang terletak di Batu Caves, Selangor

- Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan (Perkayatim), yang pernah dinaungi Rosmah.

- Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong, yang dilawati oleh Daniyar minggu lalu.

Majlis perkahwinan anak sulung Najib dan Rosmah turut diadakan pada sebelah petang 29 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sehari selepas majlis untuk tetamu kenamaan.

Mempelai itu juga dikatakan akan turut mengadakan majlis di kawasan Parlimen Najib di Pekan, Pahang.

Majlis bertandang ke Kazakhstan pula dijangka diadakan selepas majlis perkahwinan di Malaysia. Bagaimanapun butiran lanjut belum dapat disahkan.

Lihat Komen
ADS