Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad: GST tetap dilaksana pada 1 April
Diterbitkan:  Mar 7, 2015 7:00 AM
Dikemaskini: Mar 7, 2015 6:14 AM

Kerajaan akan tetap melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini berikutan yakin bahawa sistem percukaian baharu itu lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata keyakinan itu juga berdasarkan faktor tidak ada satu pun daripada 169 negara yang melaksanakan CBP menarik balik pelaksanaannya.

Kerajaan, katanya, amat yakin ia tidak silap dalam membuat keputusan untuk melaksanakan GST kerana ia adalah standard cukai antarabangsa.

Menurutnya, terdapat kira-kira 194 negara di dunia ini dan 169 negara atau 85 peratus daripadanya melaksanakan GST.

Manakala terdapat 90 peratus penduduk di dunia ini berada dalam negara yang melaksanakan GST, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan CBP, Bajet dan Isu-Isu Semasa peringkat Negeri Sembilan di Port Dickson semalam.

Beliau juga berkata mustahil GST tidak baik kerana majoriti negara di dunia ini melaksanakannya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan GST tidak berlandaskan Islam, Ahmad berkata Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada Oktober lepas mengesahkan bahawa kerajaan harus mengutip GST.

Katanya, sebab pertama Muzakarah berpandangan GST harus dilaksanakan ialah kerana ia berpendapat isu cukai merupakan siyasah syar'iyah yang bergantung kepada kepentingan yang berbeza antara sebuah negara dengan negara lain dan maslahah (kepentingan) sesuatu zaman berbanding zaman lain.

Apa yang disebut dalam GST, ia bukan suatu yang melanggar syarak kerana ia memenuhi maslahah daruriyat (kepentingan dan keperluan yang mendesak) dan hajiyat rakyat (keperluan asas biasa), tambahnya.

Menurutnya, ini bermakna, jika GST boleh membantu rakyat dalam memenuhi keperluan dan kepentingan rakyat, maka ia dibenarkan.

Ahmad berkata wujud keperluan mendesak untuk membasmi kemiskinan, mengadakan pembangunan dan memberi pendidikan kepada rakyat dan negara tidak boleh hanya bergantung kepada zakat.

"Hasil zakat tidak mencukupi, itu sebab perlu cukai," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS