Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MH370: Laporan interim dikeluar tak lama lagi
Diterbitkan:  Mar 7, 2015 7:39 AM
Dikemaskini: Mar 7, 2015 6:16 AM

Laporan interim berhubung siasatan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang telah hilang selama setahun akan dikeluarkan tidak lama lagi, bagi mematuhi peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
 
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, siasatan dijalankan mengikut Lampiran 13 - Kemalangan Pesawat dan Siasatan Insiden bagi Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (Konvensyen Chicago), seperti dilaksanakan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 1996.
 
Beliau berkata Lampiran 13 Protokol ICAO menggariskan bahawa jika sebarang laporan kemalangan dan siasatan tidak dapat dimuktamadkan, satu kenyataan interim perlu dikeluarkan pada setiap ulang tahun insiden.
 
"Siasatan nahas MH370 dijalankan oleh sebuah badan bebas, yang diketuai oleh Malaysia kerana Malaysia merupakan negara didaftarkan dan negara pengendali, dibantu oleh tujuh negara.
 
"Ketujuh-tujuh negara itu ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China, Singapura, Indonesia dan Australia," kata beliau dalam taklimat media bersempena ulang tahun pertama insiden kehilangan pesawat Boeing itu, di Putrajaya semalam.
 
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 krew , hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari sama.
 
Azharuddin berkata, hasil siasatan pasukan penyiasatan antarabangsa, yang ditubuhkan pada April 2014, tidak terletak di bawah bidang kuasa DCA tetapi di bawah badan Penyiasatan Kemalangan untuk mengeluarkan laporan.
 
"Penyiasat yang Bertanggungjawab bagi Pasukan Penyiasatan Antarabangsa ialah Datuk Kok Soo Chon, beliau adalah ketua pengarah DCA sebelum saya dan juga bekas wakil tetap ke Majlis ICAO di Montreal," katanya.
 
Ketika ditanya tentang perkembangan siasatan, Azharuddin berkata beliau tidak boleh mendedahkan apa-apa maklumat kerana beliau tidak terlibat dalam penyiasatan.
 
Beliau berkata pasukan antarabangsa terdiri daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain, Jabatan Siasatan Kemalangan Pesawat China, Biro Siasatan Kemalangan Pengangkutan Darat Perancis, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, pengeluar pesawat iaitu Boeing dan syarikat komunikasi Britain Inmarsat.
 
- Bernama
 

Lihat Komen
ADS