Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas pemergian bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bulan lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat sebagai tokoh "penyatu dan tempat bergantung" dalam kepimpinan parti, kata Ketua Pemuda PAS , Suhaizan Kaiat.

Beliau menganggap Hadi sebagai antara tokoh besar bergelar 'tok guru ' dalam PAS dan sukar digugat setakat ini khususnya menjelang pemilihan parti itu Jun ini, sekalipun berdepan pelbagai kritikan terhadapnya.

"Beliau tokoh yang sukar dicabar pada waktu ini. Beliau menjadi tokoh utama dalam parti. Tidak ada pemimpin dalam parti yang setara atau lebih tinggi.

"Peranan ini boleh dimanfaatkan, dijayakan untuk menyatukan parti. Selepas Tuan Guru Nik Aziz  tiada, beliaulah tempat ahli-ahli PAS bergantung. Pada saya, selain daripada belau tokoh besar dalam parti, beliau adalah tokoh penyatu dalam parti," katanya.

Diwawancara dengan Malaysiakini , Suhaizan berkata semua pihak dalam parti "menghormati dan akur" dengan keputusan yang dibuat khususnya dalam mesyuarat sekalipun mengakui teguran tertentu dari pemimpin.

"Tapi akhirnya, beliau akan buat keputusan dan semua akur dengan keputusan. Beliau simbol yang baik menyatukan parti," kata menjawab soalan sama ada Hadi patut dicabar dalam pemilihan parti itu Jun depan.

Setakat ini PAS Kota Bharu menjadi kawasan pertama yang mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon untuk jawatan presiden mencabar Hadi walaupun tetapi lewat petang semalam, beliau menolak pencalonan itu sekaligus mendokong kepimpinan Hadi.

Secara tradisinya, jawatan presiden tidak pernah dicabar. Sejak beliau mengambil alih sebagai presiden sejak 2002 sekurang-kurangnya tiga calon pernah dicalonkan ke jawatan itu tetapi tidak layak kerana hanya mendapat satu pencalonan.

Suhaizan turut menepis dakwaan bahawa naib ketua Kesatuan Ulama Dunia itu "tidak menyatukan" dua kelompok utama dalam PAS - kumpulan pro-ulama dan kumpulan progresif yang mesra dipanggil 'Erdogan'.

Siasatan dakwaan guling Hadi

Namun beliau juga tidak menjawab persepsi akar umbi PAS yang melihat Hadi tidak berperanan mengatasi "pergolakan dan krisis" dalaman parti itu, sebaliknya ulasannya lebih menjurus kepada pemilihan parti.

"Saya... saya tidak pasti sejauh mana saudara mendapat maklumat itu. Dari segi pemilihan di peringkat kawasan belum dibuat lagi. Kita tidak ada bukti lagi. Kena tunjuk dulu (bukti)," katanya sewaktu diasak mengenai pelbagai krisis yang berlaku sebelum pemilihan bermula lagi.

Mengulas dakwaan usaha Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mahu menjatuhkan Hadi ekoran pendedahan satu rakaman audio, Suhaizan berkata isu itu sedang disiasat oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana boleh mengganggu siasatan.

"Siasatan itu untuk menentukan sama ada ada kes atau tidak. Kalau ada kes, ia akan bawa kepada lembaga disiplin untuk tindakan seterusnya," kata Suhaizan sambil memgakui wujudnya perbezaan pandangan atau 'ikhtilaf' di kalangan pemimpin PAS.

Sebelum rakaman audio itu tercetus, Pemuda PAS Kuantan mengadakan demonstrasi depan ibu pejabat PAS mendesak parti mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin tertinggi PAS termasuk Dr Hatta Ramli dan Datuk Husam Musa kerana didakwa mahu menjatuhkan Hadi ekoran terbocornya tulisan dalam Whatapps.

 

Menganggap perbezaan pandangan sebagai biasa dalam satu organisasi, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu optimis bahawa perbezaaan pendapat dianggap proses mematangkan PAS agar diterima oleh rakyat

"Kalau tak matang, bagaimana boleh diterima oleh semua.

"Ikhtilaf tu biasa. Yang penting menguruskan perbezaan," katanya sambil berharap semua pihak dalam PAS disatukan demi meneruskan harapan kepada semua rakyat.

Lihat Komen
ADS