Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bendahari Pemuda PAS, Fakhrurazi Mokhtar menjadi orang kelima yang ditahan polis berhubung perhimpunan 'Kita Lawan' pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu lalu.

Peguamnya, Ariff Azami Hussein memberitahu Malaysiakini, Fakhrurazi yang hadir ke balai polis Dang Wangi pada jam 12.30 tengah hari tadi untuk memberi keterangan tentang perhimpunan itu kini di tahan.

Menurut Ariff, Fakhrurazi di tahan di Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Fakhrurazi yang juga seketariat perhimpunan Kita Lawan merupakan orang kelima yang ditahan polis selepas pemimpin PKR yang lain, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Rafizi Ramli, Fariz Musa dan Saifullah Zulkifli.

Selain itu, Ariff memberitahu bahawa Fakhrurazi akan dibawa ke lokap balai polis Jinjang malam ini dan proses permohonan reman akan dibuat esok.

"Walaupun kami para peguam cuba berunding tadi supaya tidak tahan (Fakhrurazi) hari ini, tetapi pegawai penyiasat kata ia sama dengan tangkapan yang lain.

"Malam ini dia akan di bawa ke Jinjang dan proses permohonan reman akan dibuat esok," katanya.

Sabtu lalu, kira-kira 10,000 penyokong Pakatan menganjurkan demonstrasi Kita Lawan. Nik Nazmi bersama barisan kanan PKR berarak dari kompleks membeli-belah Sogo ke menara KLCC.

Selain mendesak pembebasan Anwar, mereka juga menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Lihat Komen
ADS