Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penangkapan Nurul Izzah jadi tajuk utama global

Berita penangkapan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar semalam telah menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Pada jam 11 malam tadi, media yang menyiarkan berita tersebut termasuk Asahi Shimbun di Jepun, BBC di United Kingdom, New York Times di Amerika Syarikat, Sydney Morning Herald di Australia, The Hindu di India, Post Bangkok di Thailand dan Manila Times di Filipina.

Akhbar kewangan antarabangsa seperti Financial Times yang berpejabat di UK dan Wall Street Journal yang berpejabat di AS, turut memberi perhatian terhadap penangkapan Nurul Izzah itu.

"Anak ketua pembangkang yang dipenjara, ditangkap," bunyi tajuk utama New York Times. Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dengan tuduhan liwat.

Juga ditekankan dalam banyak laporan itu ialah langkah kerajaan Malaysia yang terus menggunakan Akta Hasutan 1948, termasuk kemungkinan ia digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat politik.

Kebanyakan laporan itu dari perkhidmatan wayar seperti Reuters dan Associated Press, tetapi banyak organisasi berita yang lebih besar, menyiarkan laporan mereka sendiri.

Contohnya termasuk saluran TV Al-Jazeera, BBC, New York Times dan Financial Times.

Nurul Izzah ditangkap di Balai Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 3 petang semalam, apabila beliau tiba untuk memberikan kenyataan mengenai penglibatannya dalam perhimpunan Kita Lawan pada 7 Mac.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Nurul ditahan di bawah Akta Hasutan bagi membantu siasatan polis terhadap perhimpunan tersebut, dan ucapannya di Parlimen yang menyentuh sistem kehakiman negara.

Katanya, Nurul Izzah akan dibebaskan sebaik sahaja kenyataannya direkodkan, tanpa menyatakan bila.

Perhimpunan Kita Lawan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac, telah menarik kira-kira 10,000 penyokong turun ke jalanan untuk menunjukkan solidariti dengan Anwar, yang telah dihukum penjara selepas disabitkan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya.

Anwar tetap bertegas bahawa beliau tidak bersalah dan mendakwa tuduhan terhadapnya itu adalah satu konspirasi politik.

Ekoran perhimpunan tersebut, polis telah menahan ramai pemimpin yang terlibat. Nurul Izzah adalah orang yang kesembilan ditahan berkaitan dengannya.

Awal hari ini, Human Rights Watch mengeluarkan kenyataan media di Malaysia, mengkritik penangkapan ahli Parlimen Lembah Pantai.

[Baca laporan penuh/asal]

Lihat Komen
ADS