Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Kelantan "tidak gelojoh" untuk melaksanakan hukuman hudud di Kelantan, kata Exco Agamanya Datuk Nasaruddin Daud.

Walaupun enakmen itu diluluskan pada 1993 kini berusia 22 tahun, namun katanya, disebabkan beberapa halangan, enakmen itu tidak dilaksanakan di negeri itu.

"Sudah 22 tahun dah rang undang-undang ini. Kalau seorang ibu (boleh) melahirkan anak, dia sudah ada 22 orang anak.

"Dan kalau masa itu (pada 1993) seorang budak perempuan, dia sudah boleh kena pinang dah dan (keluarganya) sudah bercucu," katanya.

ADUN Meranti itu menambah, bantahan daripada orang bukan Islam tidak sepatutnya timbul kerana undang-undang tersebut hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pergulungan Pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Beliau memberi contoh mengenai amalan berkhatan yang diwajibkan ke atas orang Islam.

"Contoh tentang (isu) bersunat (berkhatan), lelaki dan perempuan Islam wajib bersunat. Dalam hadis nabi sebut perintah ini wajib.

“Bila orang Islam hendak bersunat, adakah orang bukan Islam ada hak nak halang kita nak sunat? Itu (orang bukan Islam) tak ada hak.

"Kalau orang bukan Islam tak nak bersunat kita tak kata apa-apa tapi kalau nak halang orang Islam bersunat, itu tak wajar. Itu sudah tidak demokrasi," katanya lagi.

Mengulas mengenai beberapa kenyataan yang mengatakan hukuman hudud sebagai zalim, ketua penerangan PAS Kelantan itu berkata ia sepatutnya tidak berbangkit kerana undang-undang tersebut bertujuan untuk menghalang kejadian jenayah.

"Kenapa kita nak bersimpati dengan pencuri tapi tak bersimpati dengan mangsa yang dicuri? (Hukuman) mencuri pula bukan sebarangan. Jangan ingat kita terus potong.

"Hudud itu sendiri memberi makna hukuman yang boleh menghalang daripada melakukan jenayah.

“Bila hudud dilaksanakan, orang tak berani nak mencuri. Kita bukan nak hukum tapi nak halang," kata Nassuruddin yang meminta agar golongan masyarakat Islam menyokong pelaksanaannya.

Lihat Komen
ADS