Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin-pemimpin tertinggi PAS mengkritik keputusan DAP untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi ekoran kontroversi pelaksanaan hudud di Kelantan.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengingatkan supaya penyelesaian segera diambil atau krisis sedia akan akan semakin meruncing.

"Datuk Seri Abd Hadi Awang ( kanan ) adalah presiden PAS.

"Oleh itu, sebarang tindakan memutus hubungan dengan beliau memberi suatu impak yang buruk kepada PAS,” kata Mohamad, pemimpin kanan PAS yang dilihat paling rapat dengan DAP.

"Jika penyelesaian segera tidak dapat dicapai, maka hubungan yang sedia ada semakin runcing dan saya yakin penuh sekusut mana pun hubungan, kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam Pakatan Rakyat, pasti akan jumpa jalan penyelesaiannya," katanya.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi.

Mereka bagaimanapun mahu kekal dalam Pakatan.

Salahuddin: Bukan jalan terbaik

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menyifatkan keputusan DAP itu "bukan jalan penyelesaian terbaik" dan mewujudkan situasi "rumit dan sukar" pada mereka.

"Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang adalah presiden saya dan presiden lebih satu juta ahli PAS," kata Salahudin dalam kenyataannya.

"Saya masih yakin dan percaya melalui pengalaman suka duka bersama Pakatan, sebesar mana dan sekusut mana pun masalah yang pernah di depani, medan atau platform terbaik untuk berbincang dan membuat keputusan secara kolektif ialah mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan.”

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal tindakan DAP itu memandangkan Hadi antara yang berhak mewakili parti itu dalam mesyuarat bersama gabungan pembangkang.

"Ini bercanggah dengan prinsip bersama iaitu Majlis Presiden Pakatan Rakyat, diwakili oleh pimpinan tinggi parti.

“Jadi saya fikir ini satu yang tidak wajar dibuat sebab bagi saya berlapang dada dan berjiwa besar," katanya dalam sidang medianya di Parlimen.

Sehubungan itu MP Pokok Sena itu menyarankan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali supaya menetap tarikh bagi kepimpinan PAS menentukan sikap berhubung keputusan DAP itu.

Lulus enakmen

PAS kini mahu membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Kelantan.

Minggu lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu meluluskan pindaan terhadap enakmen sedia ada.

Pindaan baru itu antara lain memansuhkan peruntukan yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam – sama ada ingin dibicarakan mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sivil.

Ia turut meminda peruntukan yang memberi pengecualian termasuk tidak memotong tangan seseorang pencuri yang sudahpun cacat di sebelah tangan, dan sekiranya pesalah itu memperoleh hak mengikut undang-undang ke atas harta yang dicuri itu, sebelum penghakiman dibuat.

Rang Undang-undang baru ini juga membolehkan penuduh kes zina atau liwat memberi keterangan melalui syahadah atau bayyinah (keterangan yang jelas) dan kebal daripada hukuman jika kemudiannya ditentukan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan salah laku itu.

Pindaan keempat melibatkan kesalahan liwat antara suami dan isteri, yang memperuntukkan hukuman ta'zir sekiranya didapati bersalah.

Lihat Komen
ADS