Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada semakan semula perjanjian air S'gor-pusat'
Diterbitkan:  Mar 26, 2015 7:41 AM
Dikemaskini: Mar 26, 2015 7:33 AM

Terma Perjanjian Utama penstrukturan semula industri air Selangor masih kekal setakat ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

"Tidak... Tidak... tak ada semakan semula. Kita terus berpegang pada perjanjian (asal)," katanya menjawab pertanyaan pemberita di lobi Parlimen semalam.

Pertanyaan berkenaan timbul berikutan perbincangan yang diadakan antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan, Isnin lepas, berhubung perjanjian penstrukturan air di negeri itu.

Mengenai status dua aset tanah di Bukit Nanas dan Semenyih yang terlibat dalam perjanjian utama itu, Ongkili berkata perkara itu akan ditentukan selepas perbincangan seterusnya antara kedua-dua belah pihak.

Katanya kedua-dua aset tanah itu milik kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan negeri akan terus berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung perjanjian itu untuk manfaat rakyat Selangor.

Katanya, isu air tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Azmin dilaporkan berkata perbincangan awal tentang hal berkenaan diadakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Setiausaha Kementeri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee.

Pada 9 Mac lepas, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air itu atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar beberapa terma Perjanjian Utama yang ditandatangani tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS