Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebaran kenyataan 'Majlis Raja-Raja' akan disiasat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat penyebaran satu kenyataan didakwa dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menteri yang bertanggungjawab ke atasnya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penyebaran kenyataan berkenaan memberi gambaran negatif terhadap raja-raja.

“Kita akan siasat, perkara itu tidak benar. Ada pihak cuba palitkan Majlis Raja-raja.

“Saya rasa setiap perkara yang tersebar kita akan buat pemeriksaan, jangan cepat percaya apa yang tersebar terutama sekali dalam media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 di Angkasapuri pagi tadi.

Kenyataan tersebut antara lainnya mendakwa Majlis Raja-Raja murka dengan satu laporan berita portal The Malaysian Insider .

Kenyataan tersebut, dikesan beredar di laman Facebook dikendalikan seorang pemimpin Muslimat PAS semalam.

Kenyataan tersebut antara lainnya mendakwa raja-raja menolak cadangan kerajaan Kelantan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Kerajaan Kelantan semalam menafikan menafikan dakwaan bahawa Majlis Raja-Raja telah menolak cadangan PAS itu.

Pengerusi Urusetia Tetap Hudud Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata laporan The Malaysian Insider , yang mendakwa sedemikian adalah "tidak benar".

Sementara itu Bernama melaporkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya hari ini membuat laporan di Balai Polis Jalan Travers pagi tadi bagi menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Lihat Komen
ADS