Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Undang-undang gagal jika tiada keadilan'
Diterbitkan:  Mar 26, 2015 6:54 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah, bertitah undang-undang akan gagal memenuhi objektif penggubalannya tanpa adanya elemen keadilan yang dibaca bersama dalam mana-mana peruntukan.

Menurut baginda, pelaksanaan keadilan merupakan elemen yang wajib dikekalkan dan sama sekali tidak boleh dikompromi, walaupun cabang perundangan sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

"Tanpa elemen keadilan, sesuatu peruntukan keadilan adalah 'hollow', laksana jasad yang wujud tanpa roh. (Dalam keadaan sebegitu) undang-undang sekadar kompilasi adunan ayat dan himpunan perkataan," titah baginda.

Sultan Perak bertitah pada Majis Konvokesyen ke-20 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman di ibunegara hari ini.

Sultan Nazrin Shah berpandangan bahawa proses keadilan wajar bermula sebelum bermulanya sebarang proses di mahkamah.

Titah baginda, sebelum pendakwaan dimulakan, pertimbangan keadilan perlu disuntik ke dalam proses menilai kertas siasatan kerana prosiding undang-undang jenayah yang bersifat punitif memerlukan setiap fakta diperhalusi dan bukan hanya dibatasi kepada pembacaan undang-undang secara literal.

    

"Objektif dan tujuan mengapa sesuatu peruntukan perundangan jenayah diperkenalkan perlu dibaca bersama dengan fakta kes. Pertimbangan yang serupa (turut) terpakai dalam kes-kes sivil," titah baginda.

Menurut Sultan Perak, sudah sampai masanya sesuatu undang-undang itu diberi pertimbangan serta penekanan yang lebih khusus kepada roh keadilan.

"Undang-undang bukan hanya berkisar kepada do's and don't's tetapi menjangkaui perkara-perkara tersebut," titah baginda sambil menambah undang-undang secara hakikatnya berkisar kepada perbincangan falsafah dan idealisme yang perlu memenuhi kehendak masyarakat.

Justeru, titah Sultan Nazrin Shah, pentadbiran dan pengurusan undang-undang memerlukan roh keadilan dibaca bersama-sama dengan ayat dan istilah undang-undang.

"Undang-undang dan keadilan tidak boleh dipisahkan. Undang-undang dan keadilan wajib seiring dan sejalan," tegas baginda.

Dalam pada itu, Sultan Perak bertitah institusi pengajian tinggi yang menawarkan program undang-undang wajar memperkenal dan memberi penekanan kepada modul pembelajaran berkaitan keadilan.

"(Ini) demi memastikan kebijaksanaan membaca undang-undang dapat diimbangi dengan pertimbangan keadilan supaya objektif kewujudan sesuatu undang-undang dapat dipenuhi secara lebih berkesan," titah baginda.

- Bernama

Lihat Komen
ADS