Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Peserta himpunan pukul pegawai DBKL
Diterbitkan:  Mar 27, 2015 12:36 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata pasukannya menahan aktivis yang menyertai perhimpunan duduk bantah malam tadi selepas kejadian seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipukul.

Katanya, para pegawainya menyaksikan kejadian tersebut dan terus bertindak menahan enam orang peserta berkenaan, termasuk dua orang ADUN.

Zainol tidak menamakan mana-mana individu namun difahamkan, dua wakil rakyat itu ialah ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan Chang Lih Kang (Teja).

Zainol berkata seramai antara lima hingga 10 orang pegawai DBKL pada masa itu sedang menurunkan dan merampas kain rentang yang mengandungi slogan anti ketua polis negara, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pegawai DBKL itu dihalang dari berbuat demikian dan seorang daripada mereka dipukul oleh peserta perhimpunan sehingga salah seorang daripada pegawai itu cedera di muka, hidung dan tangan,” katanya.

Pakaian seragam pegawai berusia 45 tahun itu juga terkoyak dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, aktivis Kita Lawan bagaimanapun menuduh polis berbohong mengenai kejadian itu.

Sekretariatnya dalam satu kenyataan menafikan bahawa aktivis mereka bertindak ganas ke atas penguatkuasa DBKL itu.

"Rakaman video oleh saksi mata jelas menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas, termasuk memukul peserta dan menangani mereka dengan kasar," kenyataan itu dipetik.

Seramai enam orang individu yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke balai polis Jinang.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, serta Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS