Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan ketepi injunksi Shafee Selasa
Diterbitkan:  Mar 27, 2015 3:51 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Badan Peguam Malaysia dan tiga yang lain memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi interim ex-parte diperoleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mencegah mereka mengemukakan usul terhadapnya berhubung tindakannya mengendalikan kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

   

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad menetapkan 31 Mac untuk mendengar permohonan itu.

   

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, yang mewakili Muhammad Shafee, memberitahu pemberita, mahkamah juga menetapkan hari yang sama untuk mendengar injunksi inter-parte (antara pihak).

   

Kamarul Hisham berkata plaintif memerlukan masa untuk menjawab afidavit defendan berhubung permohonan untuk mengetepikan injunksi itu, yang difailkan semalam.

   

Pada 13 Mac, Asmabi membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) Muhammad Shafee dan peguam kanan itu menamakan Badan Peguam, Christopher Leong yang ketika itu presiden Badan Peguam, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V. C. George dan peguam Tommy Thomas sebagai defendan.

   

Asmabi membenarkan injunksi interim ex-parte Muhammad Shafee untuk menghalang Badan Peguam dan presidennya Leong (kini bekas) atau menerusi ejen mereka daripada membenarkan usul dikemukakan, dibincangkan atau diguna pakai semasa AGM atau membincangkan apa-apa perkara berhubung tindakan Muhammad Shafee mengendalikan rayuan kes jenayah Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 14 Mac, atau pada mana-mana tarikh selepas itu.

   

Hakim juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee bagi injunksi interim ex-parte untuk menghalang V. C. George dan Tommy atau melalui ejen mereka daripada mengemukakan usul bertajuk 'Usul terhadap Shafee Abdullah bertarikh 28 Februari 2015' atau usul serupa pada AGM ke-69 Badan Peguam Malaysia pada 14 Mac atau mana-mana tarikh selepas itu.

   

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara fiat (autoriti) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan rayuan itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

   

Peguam Lambert Rasaratnam dan Andrew Chiew mewakili Badan Peguam dan Leong, manakala peguam Porres Royan mewakili V. C. George dan peguam Datuk S Ambiga mewakili Tommy.

   

- Bernama

Lihat Komen
ADS