Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini enggan mengulas berhubung masa depan Pakatan Rakyat berikutan keputusan parti Islam itu yang meneruskan agenda hudud mereka.

"Masa depan (Pakatan)? Saya tidak tahu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya sama ada pelbagai kritikan terhadap parti itu akan memberi kesan terhadap peluangnya untuk mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan PAS pada Jun akan datang, Hadi hanya berkata:

"Tidak ada. Tidak ada yang dapat mempengaruhi ahli-ahli PAS," kata ahli Parlimen Marang itu.

Pakatan kini menghadapi krisis yang paling teruk sejak penubuhannya pada 2008 apabila PAS tetap ingin meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud sehingga menimbulkan masalah dengan DAP dan PKR.

Masalah timbul apabila rakan sekutunya itu mengatakan PAS membelakangkan rangka kerja dasar bersama Pakatan dan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Hadi turut berharap agar negeri-negeri lain turut mencontohi Kelantan dalam pelaksanaan undang-undang hudud.

Malah, beliau turut menggesa supaya orang bukan Islam turut bersikap terbuka terhadap undang-undang tersebut.

Sambil mengakui masih terdapat halangan bagi pelaksanaan itu, beliau turut melahirkan keyakinan bahawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dapat dibentangkan.

"Insya-Allah, ini akan menggalakkan negeri-negeri lain dan bukan Islam untuk menerima hudud.

"Perkembangan ini (hudud) bergantung kepada perbincangan antara kerajaan Kelantan dan pihak-pihak berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Ada yang mengatakan perlunya dua pertiga (majoriti di Parlimen) dan ada yang percaya bahawa majoriti mudah diperlukan. Saya mengharapkan supaya dapat majoriti mudah," kata Hadi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS