Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kolej tutup, pelajar tanggung hutang
Diterbitkan:  Mar 31, 2015 9:19 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

Sejumlah 200 pelajar sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dalam kebingungan berikutan penutupan pusat pendidikan berkenaan di sini sejak Sept tahun lepas.

Tiga daripada pelajar terbabit dengan ditemani ibu bapa masing-masing hari ini bertemu dengan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah di pejabat beliau untuk mengadu hal berkenaan dan meminta bantuannya untuk menyelesaikan masalah mereka itu.

Fatimah ketika bercakap kepada pemberita kemudian berkata beliau difahamkan kolej berkenaan sudah tidak beroperasi sejak September tahun lepas tetapi pelajar-pelajarnya tidak dimaklumkan secara rasmi oleh pihak kolej berkenaan.

"Ini menyebabkan semua pelajar terlibat tertunggu-tunggu dan mereka juga tidak menghadiri kelas sejak Sept tahun lalu," kata Fatimah.

Fatimah berkata premis pusat pengajian kolej itu difahamkan sudah dikunci oleh pemiliknya.

Beliau berkata masalah itu bukan sahaja menyebabkan pengajian pelajar terbabit tertangguh tetapi turut mengalami kerugian dari segi wang ringgit kerana perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masing-masing.

Fatimah berjanji akan mengadu hal berkenaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Fatimah menasihatkan pelajar-pelajar yang terjejas agar memohon untuk melanjutkan pengajian di kolej lain dan berkata beliau akan memberi surat sokongan kepada PTPTN untuk membolehkan mereka mendapat pinjaman baharu.

Sehubungan itu, Fatimah menasihatkan pelajar agar berhati-hati dalam membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana kolej swasta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS