Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lebih ramai sokong BN bila lebuh raya siap'
Diterbitkan:  Mar 31, 2015 9:24 AM
Dikemaskini: 2:47 PM

Pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo yang berjumlah RM27 bilion dengan jarak 1,633 kilometer dari Sarawak ke Sabah adalah bukti kerajaan BN menepati janji dalam manifesto pilihan raya umum pada 2013.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan BN tidak akan menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ini melibatkan harapan rakyat yang mengundi BN.

"Saya berhasrat untuk memenuhi janji saya (projek lebuh raya Pan Borneo) dan esok ia akan ditunaikan," katanya di majlis makan malam sempena lawatan dua hari ke Bintulu mulai semalam.

Najib memberi jaminan pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo di Sarawak akan mengutamakan kepentingan rakyat tempatan dengan peluang pekerjaan dan syarikat dari Sarawak diberi keutamaan.

"Esok saya akan terangkan dengan lebih lanjut mengenai projek lebuh raya Pan Borneo," katanya sambil menyatakan keyakinan sokongan rakyat Sarawak kepada BN semakin kuat selepas pelaksanaan projek lebuh raya ini nanti.

Ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem juga menyentuh mengenai pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo yang merupakan janji yang lama dinanti-nantikan rakyat Sarawak.

"Ia akan menjadi projek kejuruteraaan terbesar pernah dilaksanakan di Sarawak," katanya.

Adenan berkata sebaik sahaja projek itu siap, ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk Sarawak dan Sabah.

"Kami menjangkakan menjadi sama, dari segi pembangunan, dengan semenanjung, dalam tahun-tahun akan datang," katanya sambil menambah bahawa Sarawak kini berada di landasan untuk menjadi negeri perindustrian.

Beliau berharap kontraktor Sarawak yang dilantik melaksanakan projek lebuh raya untuk menyahutnya sebagai satu cabaran dan menunjukkan kualiti kerja yang setanding dengan rakan mereka di semenanjung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS