Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, penstrukturan semula industri air Selangor masih belum dapat dimuktamadkan kerana percanggahan dalam perjanjian utama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Azmin menjelaskan, ia ekoran syarat baru yang dimuatkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam perjanjian tersebut.

Syarat tersebut meminta supaya keseluruhan aset termasuk tanah syarikat konsesi diserahkan kepada kerajaan Persekutuan, katanya.

Menurut Azmin, kerajaan Selangor tidak bersetuju kerana kerajaan persekutuan enggan menerima hanya sebahagian aset yang dipulihkan oleh syarikat konsesi sahaja, seperti dinyatakan dalam perjanjian utama.

Katanya, perkara ini menunjukkan Putrajaya mahu hak keseluruhan ke atas loji rawatan air berserta tanah, sedangkan hanya sebahagian daripadanya dibaikpulih.

"KeTHHA bukan sahaja enggan menerima pemindahan milik yang melibatkan bahagian aset air yang telah dipulihkan dan ditingkatkan oleh syarikat konsesi seperti yang disenaraikan dalam perjanjian utama, sebaliknya meletakkan syarat ketiga yang baru.

"Bukan sahaja aset syarikat konsesi yang telah dinaiktaraf dan ditambahbaik perlu diserahkan tetapi semua (aset) perlu serah sama ada telah ditambahbaik atau belum ditambahbaik.

"Ini sekali lagi bercanggah dengan perjanjian utama," katanya.

ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata, perjanjian utamanya hanya menggariskan bahawa aset yang perlu dipindahmilik itu hanya melibatkan air yang telah dinaiktaraf dan ditambahbaik oleh syarikat konsesi.

Sekiranya syarat baru yang ditetapkan oleh KeTTHA itu dipersetujui, kerajaan negeri tidak lagi menjadi pemilik kepada tanah tersebut, katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dalam persidangan DUN Selangor.

Semalam, Sultan Selangor dalam titahnya berharap agar isu penstrukturan industri air di negeri itu tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat.

Malah, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga bertitah supaya Azmin lebih tegas agar rundingan berkenaan dapat dimuktamadkan segera.

Lihat Komen
ADS