Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keutamaan dan perhatian perlu diberikan oleh Pakatan Rakyat terhadap isu yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara daripada asyik berpolemik mengenai hukum hudud, kata Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar.

Khalid yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PPKR berkata isu kedaulatan dan perubahan senario politik serantau yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara, lebih penting daripada dikaburi polemik hudud.

Beliau memberi contoh mengenai persaingan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan China di Lautan Pasifik dan perjanjian damai antara Bangsa Moro di Selatan Filipina dengan kerajaan negara itu.

"(Kerajaan) China meningkatkan kuasa ketenteraannya begitu pantas, dan Amerika Syarikat memberi reaksi akan memindahkan 60 peratus kekuatan tentera laut ke Asia Pasifik.

"Ini menjadikan Asia Pasifik sebagai tempat kepada persaingan ketenteraan yang paling dahsyat dalam sejarah manusia. Ini perkara besar yang tidak pernah dibincangkan dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Pro-Kontra Hudud Kelantan anjuran bersama Malaysiakini dan Jalan Telawi Dotcom di Petaling Jaya malam tadi.

Selain Khalid, forum itu membaris tiga lgi ahli panel, iaitu peguam Muhammad Faiz Fadzil, MP Kluang Miew Chin Tong dan Pendakwah bebas Wan Ji Wan Husin. Eekmal Ahmad menjadi pemudahcara bagi forum itu.

Mengulas lanjut, Khalid turut mengingatkan mengenai kepentingan negara di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan apabila tentera laut negara besar timur itu mendakwa mereka menguasai kawasan di lautan itu.

Malah, katanya, Malaysia juga berdepan dengan kegagalan rundingan damai Bangsa Moro dan kerajaan Filipina yang dikhuatiri gagal dan akan menyebabkan berlaku limpahan pelarian ke Sabah.

"(Jadi perkara) ini menggugat keselamatan negara. Isu-isu seperti ini jauh lebih 'real' daripada persoalan yang dipolemikkan sekarang," katanya mengharapkan masyarakat Islam lebih berpandangan jauh dan luas berkaitan isu itu daripada memikirkan "perkara yang boleh membantutkan" kemajuan Malaysia.

'Siapa lebih jantan'

Sementara itu, Liew berkata isu hudud ini mencetuskan polemik cabar-mencabar "siapa lebih jantan" di antara parti bukan Melayu dan bukan sekadar hanya melibatkan pesaingan antara PAS dan Umno semata-mata.

"Ia persaingan antara parti Melayu. Utusan akan tanya PAS, kenapa tidak laksana (hudud). Umno akan tanya PAS, kenapa tidak laksana hudud. PAS akan tanya Umno, kenapa tidak benarkan pelaksanaan hudud.

"Di antara parti bukan Melayu dan surat khabar Cina, The Star, akan bertanya kenapa DAP sokong PAS, kenapa DAP tidak keluar daripada Pakatan Rakyat, kenapa DAP setuju dengan hudud. Ini politik siapa lebih jantan," katanya.

Katanya, isu hudud yang dibangkitkan dan usaha-usaha yang dilakukan untuk memecahkan Pakatan Rakyat adalah insiden yang hampir sama berlaku pada 2001 sehingga berpecahnya Barisan Alternatif.

Pemimpin DAP itu mengimbau beberapa peristiwa atau insiden politik seperti isu tuntutan Suqiu dan perkauman, polemik negara Islam yang dimainkan sehingga berpecahnya PAS dan DAP dalam Barisan Alternatif.

"Ia rasa seperti tahun 2001... Surat khabar Cina tanya DAP, kenapa tak keluar (Pakatan), Utusan tanya PAS kenapa tak keluar (Pakatan). Ini polemik siapa lebih jantan.

"Kita perlu memahami secara politik, kenapa kita perlu satu gagasan, gabungan politik yang menentang Umno dengan idea baru, idea yang boleh menyatukanpadukan parti supaya menjadi kerajaan pembangkang.

"Menang pilihan raya, (dan) jadi kerajaan dengan idea baru dan sentris yang memenangi hati semua kaum, bukan hati sekumpulan sahaja," katanya.

'Tunjuk sikap statemanship'

Mengulas berhubung isu polemik 'siapa lebih jantan' itu, Khalid menganggap polemik hudud lebih melibatkan PAS dan DAP dalam usaha untuk "merapati jurang perbezaan" demi meraikan penyokong masing-masing.

"Saya tahu PAS berdepan dengan orang Islam, DAP berdepan dengan kawasan di kalangan orang Cina, yang tidak boleh dikhinatinya, begitu juga PAS," katanya.

Sehubungan itu, Khalid secara khusus menasihatikan pemimpin tertinggi veteran dalam Pakatan supaya "tidak melatah" sebaliknya lebih menunjukkan sikap 'statemanship' untuk menerima satu sama lain.

"Kita tahu ia proses yang mengambil masa untuk faham," katanya sambil menambah PKR turut berdepan cabaran untuk memperkenalkan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Lihat Komen
ADS