Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan presiden PKR, Azmin Ali berkata, parti itu menganggap Lembaga Pengampunan masih lagi sedang mempertimbangkan rayuan pengampunan ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ia memandangkan keluarga Ketua Pembangkang itu masih lagi belum menerima surat secara rasmi daripada lembaga itu.

"Setakat ini, keluarga Datuk Seri Anwar belum menerima surat secara rasmi daripada Lembaga Pengampunan.

"Jadi kita menerima hakikat bahawa rayuan itu masih dipertimbangkan," katanya ringkas dalam sidang media di lobi bangunan DUN Selangor hari ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memutuskan Anwar hilang kelayakan sebagai MP Permatang Pauh bermula 16 Mac lalu.

Ia merupakan tarikh Lembaga Pengampunan menolak permohonan Anwar.  

Menurut peguam Anwar, keputusan Lembaga Pengampunan sepatutnya disampaikan secara bertulis oleh Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan lembaga tersebut.

Permohonan berkenaan difailkan oleh anggota keluarga Anwar pada 24 Februari lalu mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara 2000.

Peruntukan itu memberi peluang kepada para banduan untuk mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, sultan atau raja atau yang dipertua negeri.

Menurut peruntukan itu, seseorang banduan boleh memohon pengampunan seberapa segera selepas sabitan, dan seterusnya selepas tiga tahun dan selang dua tahun selepas itu.

Lihat Komen
ADS