Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai seorang bukan Islam, bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga secara terus terang berkata beliau takut terhadap hudud.

“Sebagai bukan Islam, adakah saya takut terhadap hudud? Ya, memang saya takut. Ini adalah kebimbangan saya.

“Saya tidak setuju jika mengatakan ia tiada berkaitan dengan bukan Islam. Jikalau saya menjadi mangsa di Kelantan kerana dipukul oleh seseorang, apa akan jadi?

“Saya boleh bawa kes itu ke Makhamah Syariah tetapi keterangan saya kurang daripada orang Islam. Adakah itu adil bagi saya sebagai mangsa?

“Jadi, jangan kata hudud tiada kaitan dengan bukan Islam, ia berkaitan dengan semua orang,” kata Ambiga dalam satu forum hudud anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya malam tadi.

Turut bercakap di forum itu ialah ahli panel Jawatankuasa Pelaksanaan Hudud Kelantan, Azhar Abdullah; Exco Pemuda Umno, Fathul Bari dan Dekan Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Prof Nazari Ismail dan Pensyarah Kanan UM, Siti Zubaidah Ismail.

Ambiga berpendapat bahawa kerajaan Kelantan sepatutnya membawa isu hudud ke Parlimen dan mendapatkan pindaan perlembagaan dahulu sebelum meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II  1993 (Pindaan 2015).

“Kita tidak boleh setuju dengan cara dan proses yang dilakukan oleh Kelantan. Jika ingin melaksanakan hudud, sila lakukan dengan proses yang betul.

“Bawa dulu ke Parlimen untuk pindaan perlembagaan dan bukannya lulus dahulu di peringkat negeri,” katanya.

Oleh sebab hudud bercanggah dengan perlembagaan, Ambiga tetap menyatakan bantahannya terhadap hudud melainkan ada pindaan dibuat terhadap perlembagaan.

'Isu hudud dipolemik'

Sementara itu, Fathul Bari pula kesal dengan sesetengah  pihak yang menurutnya mempolemikkan isu hudud untuk kepentingan masing-masing.

“Bila membicara hudud, sila jauh dari politik.

“Sesetengah pihak telah menjadikan hudud ini polemik, malah ada menjadinya sebagai agenda politik.

“Bila dipolitikkan, muncul video mempermainkan hudud, bahkan ada unsur penghinaan,” katanya

Fathul turut mendapati sesetengah penceramah yang hadir dalam forum perdebatan atau perbincangan telah menyuarakan hudud bukan seperti diperjelaskan olah islam.

“Mereka mempertikai kenapa kita nak tarik balik sistem kuno ini. Kalau orang bukan islam cakap saya tak hairan, tapi yang berbicara ini adalah Muslim, itu kita kesal,” katanya.

Fathul turut menyatakan kepentingan penubuhan jawatankuasa teknikal mengkaji pelaksanaan hudud di peringkat pusat kerana ia boleh mengumpul pengetahuan dari pakar dalam pelbagai bidang.

Lihat Komen
ADS