Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kastam: Ada syarikat naik harga kad tambah nilai
Diterbitkan:  Apr 2, 2015 9:20 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Beberapa syarikat telekomunikasi melanggar arahan kerajaan supaya tidak menaikkan harga kad tambah nilai prabayar, dengan mengenakan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST), kata Jabatan Kastam.

 

Ini ekoran aduan pengguna selepas mendapati harga kad tersebut naik enam peratus, walaupun sebelum ini, kerajaan berjanji harganya kekal selepas 1 April.

"Sebelum pelaksanaan GST, cukai perkhidmatan enam peratus dikenakan dalam setiap kad itu. Apabila GST dilaksanakan, sepatutnya harga kad prabayar tiada perubahan.

"Surat telah dikeluarkan kepada semua syarikat telekomunikasi agar tidak menaikkan harga kad prabayar. "Namun, ada satu dua syarikat tidak mengikuti peraturan ini.

"Perkara ini sedang disiasat oleh JKDM dan KPDNKK," lapor Bernama yang memetik Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam. 

Katanya, JKDM menerima lebih 800 aduan dan pertanyaan mengenai CBP semalam, dengan isu paling popular adalah peniaga mengenakan GST tetapi tiada nombor pendaftaran 12 digit pada resit.

"Ada juga pertanyaan mengenai syarikat ada nombor pendaftaran GST tetapi  pelanggan tidak dikenakan GST dan apabila ditanya, didapati sistem GST belum diaktifkan," katanya dalam satu sidang media mengenai GST semalam.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan tujuh notis tunjuk sebab kepada peniaga dan syarikat berhubung aduan berkaitan GST semalam.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata peniaga dan syarikat diberikan tempoh tiga hari bermula hari ini untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu.  

Daripada tujuh notis itu, beliau berkata empat adalah berkaitan aduan kadtambah nilai prabayar manakala tiga lagi berkaitan tanda harga.

"Selepas tiga hari tempoh itu, jika didapati bersalah ia akan ditentukan sama ada mengikut Akta Anti Pencatutan 2011 atau Akta Perihal Dagangan 1972," katanya dalam sidang media yang sama.

 

Alias berkata pihak KPDNKK akan mencadangkan penalti maksimum kepada individu atau syarikat yang didapati bersalah mengaut keuntungan berlebihan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Katanya, seorang individu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala syarikat boleh dikenakan denda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan

kedua.

Pengguna dinasihatkan untuk meminta resit setiap kali membuat pembayaran dan memeriksa nombor pendaftaran CBP syarikat, manakala sebarang aduan atau pertanyaan boleh diajukan kepada PGAP melalui talian hotline 1-800-886-800 atau
JKDM di talian 1-300-888-500.

Lihat Komen
ADS