Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan penahanan seseorang individu bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dibenarkan membuat semakan kehakiman.

"Saya memberikan keyakinan bahawa kuasa menteri sudah ditiadakan untuk menahan (individu bawah POTA).

"Sebaliknya empowerment diberikan kepada Lembaga Pencegahan Keganasan.

"Dan kalau selepas itu mereka tidak bersetuju dengan penahanan, mereka boleh membuat semakan kehakiman.

"Di mana ada Lembaga Penasihat yang akan melihat keputusan Lembaga Pencegahan (Keganasan).

"Jadi soal yang ditahan kerana keganasan diberikan hak asasi sebegitu," katanya dalam sidang media di Seri Kembangan pagi ini.

Beliau mengulas sama ada Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang akan dibentangkan pada 6 April ini bakal berdepan dengan penentangan khususnya pembangkang di Dewan Rakyat.

Dengan memberi contoh, Zahid berkata lembaga penasihat bagi pencegahan jenayah telah melepaskan lima daripada enam tahanan selepas membuat semakan walaupun polis rasa lemah semangat.

"Tapi itulah kehendak undang-undang pencegahan (jenayah)," katanya yang juga naib presiden Umno.

Zahid juga berkata  tidak fikir ramai pemimpin akan membantah apa yang terkandung dalam POTA berbanding Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"POCA dianggap menggantikan ISA. Jelas apabila ia telah berjalan dan laporan dibentang dalam kabinet dan dewan rakyat, tidak ada mana-mana ahli politik, yang tidak terlibat dengan sebarang aktiviti dan ditangkap.

"Tidak ada tangkapan kerana perbezaaan pendapat, tidak ada dilakukan (tangkapan) berdasarkan penganiayaan atau kezaliman,

"Bila templet itu ada diguna untuk POTA, saya fikir ia kurang (penentangan) untuk POTA," katanya.

Lihat Komen
ADS