Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengumumkan pengosongan kerusi Permatang Pauh sebagai terlalu awal.

Wan Azizah berkata, tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilihat tidak matang kerana beliau masih belum menerima sebarang surat daripada Lembaga Pengampunan.

"Saya dah bercakap dengan peguam saya dan mereka kata kenyataan Yang Dipertua itu terlalu awal kerana kami belum menerima sebarang keputusan rasmi.

"Jadi peguam saya menasihatkan supaya menunggu lagi sehingga jawapan yang rasmi. Kenyataan Yang Dipertua itu terlalu awal," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan terus membuat permohonan diraja selepas ini, ADUN Kajang itu berkata beliau akan mencari pilihan lain bagi memastikan suaminya bebas daripada penjara.

"Kami sebenarnya tahu perkara ini akan terjadi jadi kami telah bersedia sejak semua ini bermula.

"Kita akan melihat pilihan lain. Ini bukan pengakhirannya," katanya lagi.

Semalam Pandikar mengumumkan Anwar hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh pada 16 Mac lalu sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon keluarganya.

Keputusan mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu mengatakan bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar atas sabitan tuduhan liwat hendaklah diteruskan.

Pada 24 Februari lepas,keluarga Anwar menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Lihat Komen
ADS